Penyokong Mexico, Argentina bertempur

Doha: Kemeriahan Piala Dunia 2022 yang baharu memasuki hari kelima dicemari dengan pergaduhan di antara penyokong Argentina dan Mexico semalam.

Kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Lusail dalam aksi penting Kumpulan C awal pagi Ahad ini selepas masing-masing tanpa kemenangan dalam perlawanan pertama.

Tetapi ketika Argentina dan Mexico gigih mencatur strategi, lain pula dilakukan penyokong kedua-dua pasukan apabila menjadi samseng bola sepak selepas terbabit dengan keganasan yang juga kali pertama berlaku di Qatar.



Insiden berlaku di Al Bidda Park di Doha, salah satu zon penyokong yang diwujudkan Fifa untuk menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan negara berbeza.

Menerusi video tersebar di media sosial, sekumpulan penyokong Mexico kedengaran menjerit dengan kata-kata mengeji Lionel Messi yang mendapat tindak balas penyokong La Albiceleste yang berang dengan penghinaan itu.

Pergaduhan tercetus dengan mereka berbalas tumbukan dan tendangan. Wartawan Mexico, Omar Nino yang berada di situ melaporkan beberapa orang memerlukan rawatan akibat kecederaan.

Messi menjaringkan gol pendahuluan Argentina tetapi Arab Saudi bangkit menakjubkan dengan dua jaringan pada babak kedua untuk kemenangan sensasi 2-1.



Manakala Mexico seri 0-0 dengan Poland dalam aksi pertama mereka yang menyaksikan penjaga gol legenda, Guillermo Ochoa menyelamatkan penalti Robert Lewandowski pada babak kedua.

Susulan pergaduhan penyokong Argentina dan Mexico, kawalan keselamatan dipertingkatkan di Stadium Lusail Ahad ini.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button