‘Sampai bila nak suruh orang sabar… kita pun naik malu nak cakap’, luah TMJ

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap masalah banjir yang melanda beberapa daerah di Johor dapat diatasi secepat mungkin dan tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Tunku Ismail menzahirkan rasa simpati terhadap rakyat di negeri itu yang terpaksa berdepan dengan isu terbabit selain malu kerana hanya mampu meminta mereka bersabar atas musibah yang melanda.

Justeru, Tunku Ismail mengakui sistem tebatan banjir amat penting bagi mengelakkan musibah sama berulang yang mana sudah pasti akan menjejaskan rakyat yang menanggung pelbagai kerugian.

“Persiapan membantu rakyat itu bagus tetapi saya rasa lebih penting adalah elakkan benda ini (banjir) berlaku setiap tahun. Sistem tebatan banjir perlu sangat untuk elakkan benda ini berlaku.



“Kasihan pada rakyat yang susah kerana barang dan rumah rosak. Saya harap kerajaan boleh bertindak sebaik mungkin.

“Setiap tahun, saya pergi (melawat mangsa banjir) terpaksa cakap benda yang sama, bersabar. Sampai bila saya nak suruh orang sabar? Kita pun naik malu nak cakap.

“Saya harap kita boleh atasi secepat mungkin,” kata Tunku Ismail menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi.

Terdahulu, kira-kira 10 daerah di negeri itu terjejas susulan banjit antaranya Segamat, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Tangkak, Johor Bahru, Mersing, Kulai dan Pontian.



Namun, laporan terbaharu menyaksikan jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan kepada 40,846 mangsa banjir daripada 11,496 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 41,661 orang daripada 11,664 keluarga pada jam 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker