Tunaikan amanah jika tidak mahu dicop pengkhianat – Khutbah Jumaat
IPOH: Khutbah Jumaat di Perak hari ini mengingatkan wakil rakyat bahawa mereka memikul amanah besar menerusi mandat diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
Khutbah bertajuk `Amanah Rakyat: Kewajipan Melaksanakannya’ mengingatkan pemimpin yang dipilih untuk menunaikan tanggungjawab diamanahkan supaya tidak tergolong sebagai pengkhianat amanah.
Khutbah itu turut menggariskan enam peringatan kepada pemimpin yang diangkat melalui kuasa undi rakyat.
Pertamanya, pemimpin perlu berusaha mengotakan janji serta tawaran yang pernah dihidangkan ketika meraih undi selain memberi perhatian kepada dua perkara iaitu memenuhi tanggungjawab kepemimpinan dengan penuh kesungguhan, jujur, dan saksama kepada semua pihak yang disulami kesedaran bahawa ia akan disoal oleh Allah SWT di Hari Pembalasan.
“Kedua, menerapkan budaya intelektual serta kepimpinan yang tinggi sahsiah dan bermoral tinggi; seperti tidak melakukan pecah amanah, budaya rasuah, meningkatkan daya pengetahuan, berkemampuan berbahas secara berhemah sama ada dalam Dewan Rakyat, Dewan Negeri mahu pun bicara sesama pihak luar, apatah lagi di peringkat antarabangsa.
“Peringatan Ketiga: Memberi fokus pada keutamaan dan keperluan rakyat dan tidak kurang juga isu global yang memperlihatkan dunia mengalami perubahan, malapetaka dan bencana yang amat perlu difikirkan secara strategik dan kerahan idea bersama kalangan pemimpin dalam menangani krisis yang sedikit sebanyak memberi ancaman kepada kehidupan manusia.
“Seperti krisis kekurangan bekalan makanan, bencana banjir, jerebu, kemungkinan munculnya virus lain yang membahayakan dan sebagainya,” menurut teks itu.
Turut diingatkan adalah usaha menggembleng tenaga memacu negara ke arah anjakan paradigma kemajuan sosial, teknologi, ekonomi dan sebagainya dengan memikirkan pelan strategik yang dapat mengembalikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekonomi negara.
Khutbah itu juga menyatakan dalam memenuhi amanah rakyat, menjadi satu kemestian kepada pemimpin mempunyai sifat berani dan jujur.
Pemimpin yang dipilih juga perlu mementingkan kepentingan rakyat melebihi peribadi, berintegriti, merendah diri, cekap mengurus, berlapang dada, berpendidikan, memahami realiti dunia semasa, mempunyai keupayaan profesional, serta mempunyai iman dan ketakwaan kuat kepada Allah SWT.
“Lazimnya rakyat yang mengundi disulami harapan, iaitu ingin melihat generasi kepemimpinan yang mengutamakan agenda transformasi pentadbiran yang telus dan cekap, disusuli penerapan nilai moral dan etika dalam segenap aspek agar perkara yang mencemarkan imej negara dan merosakkan reputasinya dapat dihindari,” menurut teks khutbah itu.
Menurut teks itu lagi, berdasarkan Ayat 41 Surah al-Hajj, ia menunjukkan kunci utama untuk pemimpin kekal berintegriti dan mengamalkan nilai moral baik ketika dikurniakan kuasa pemerintahan adalah dengan mendirikan solat, menunaikan zakat serta menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.
Empat elemen itu adalah kombinasi lengkap ke arah pembentukan jati diri pemimpin berkaliber yang juga faktor mendorong kepada kesejahteraan sosial jika ia difahami dengan kemas dan dipraktikkan dalam kehidupan seorang pemimpin.
“Solat mesti disempurnakan dengan khusyuk dengan penghayatan yang mendalam supaya membuahkan iman yang mantap menjadi benteng kemungkaran. Zakat adalah penyucian harta dan bukti tanggungjawab serta ihsan pada yang memerlukan.
“Menyuruh berbuat baik dan melarang kejahatan menjadikan pentadbiran telus berteraskan keadilan dan bersih dari penyelewengan; juga ia titik tolak kepada lahirnya generasi yang hidup dalam keharmonian dan mencapai ketenteraman.
“(Namun) hakikatnya, khatib dan sidang jemaah sekalian semuanya merupakan pemimpin; (iaitu) mempunyai peranan dan tanggungan masing-masing atau setidak-tidaknya memimpin diri sendiri,” menurut teks khutbah itu.
BHOnline