Ambil kira nisbah saiz Malaysia bentuk Kabinet

KUALA LUMPUR: Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil kira nisbah saiz Malaysia supaya tanggungjawab setiap anggotanya menjadi lebih rasional.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata pembentukan Kabinet berdasarkan nisbah saiz negara itu dilihat lebih ideal dalam usaha Perdana Menteri mahu mengecilkan jumlah anggota Jemaah Menterinya.

“Saya melihat Kabinet yang ideal perlu berdasarkan saiz negara itu sendiri namun untuk melaksanakan perkara terbabit, kajian perbandingan perlu dilaksanakan terlebih dahulu untuk memastikan nisbah anggota Kabinet di Malaysia dilihat lebih rasional.



“Jadi saya berpandangan Perdana Menteri perlu melihat kepada nisbah dalam konteks negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun dari segi berapa jumlah anggota Kabinet mereka dan sebagainya,” katanya kepada BH, hari ini.

Anwar pada sidang media di Putrajaya hari ini berkata, kerajaan pimpinannya akan menyaksikan pembentukan saiz Kabinet yang lebih kecil.

Malah Perdana Menteri memaklumkan, beliau akan mengusulkan supaya gaji menteri Kabinet dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, jumlah menteri yang dilihat wajar adalah seramai 25 orang tidak termasuk timbalan menteri, lebih kecil berbanding 28 orang ketika pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.



“Saya melihat Jemaah Menteri pentadbiran Anwar lebih elok lebih kecil berbanding berbanding ketika era Dr Mahathir. Kalau tidak, bagaimana beliau mahu membezakan pentadbirannya dengan bekas Perdana Menteri itu.

“Dengan pentadbiran yang kecil tetapi memberi impak besar kepada negara. Sebab itu saya merasakan lebih elok Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang kerana jika mereka menyertai kerajaan perpaduan ini, sudah tentu mereka akan menuntut jawatan dalam Kabinet,” katanya.

Malah, beliau berkata, Perdana Menteri sendiri sudah menyatakan komitmennya untuk tidak mengambil gaji sekali gus memberi mesej jelas kepada bakal anggota Kabinetnya bahawa pembentukan Jemaah Menteri akan dikecilkan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata yakin Anwar mampu membentuk Kabinet yang lebih kompak dan berkesan.



Katanya, walaupun Anwar memimpin kerajaan perpaduan yang membabitkan banyak parti politik, isu pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri mampu ditangani berdasarkan pengalamannya pernah berada dalam Jemaah Menteri sebelum ini.

“Cabaran utama yang perlu dihadapi Anwar adalah pemulihan ekonomi dan memulihkan kembali perpaduan serta keyakinan rakyat kerana dalam pilihan raya umum baru-baru ini, banyak isu perkauman dan agama dimainkan terutama di media sosial.

“Ini boleh menyebabkan hubungan kaum terjejas maka Perdana Menteri perlu mengembalikan semula perpaduan dengan menguatkuasakan akta berkait dengan bahan sebaran di media sosial,” katanya.

Negara maju seperti Amerika Syarikat umpamanya ditadbir 24 menteri (tidak termasuk Naib Presiden), Jepun (19 menteri) manakala Korea Selatan ada 18 menteri.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button