Pertemuan hidup mati Jerman berdepan Sepanyol

DOHA: Selepas hanya satu perlawanan pada Piala Dunia Qatar, Jerman berdepan perlawanan wajib dimenangi mereka berdepan Sepanyol awal pagi Isnin ini, pasukan yang tidak pernah ditewaskan mereka dalam aksi kompetitif sejak 1988.

Sebelum Jerman dikejutkan 2-1 oleh Jepun dalam aksi pembukaan, pasukan berkenaan berdepan kritikan teruk kerana berjanji akan memakai lilitan “OneLove” sebagai sokongan terhadap kepelbagaian dan hak kemanusiaan.

Namun selepas Jepun meledak dua gol lewat untuk menewaskan skuad kendalian Hansi Flick, Jerman dihentam pemerhati kerana hilang fokus terhadap bola sepak ketika mereka sepatutnya memberi tumpuan bagi mengelak tersingkir daripada peringkat kumpulan Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.



Semalam, penyerang Chelsea, Kai Havertz berkata pemain terus percaya dan menyedari cabaran akan dihadapi mereka, terutama ketika berdepan Sepanyol yang membelasah Costa Rica 7-0 pada perlawanan pembukaan.

“Semua orang tahu pandangan kami dan bagaimana kami berfikir,” kata Havertz dalam sidang media pra perlawanan.

“Benar, fokus kami 100 peratus terhadap bola sepak, tiada selain itu. Kami hanya cakap apa yang kami rasa, itulah pandangan kami, semua orang tahu, kini ia mengenai bermain bola sepak.”

Ketika rangkaian pasar raya Rewe menarik penajaan mereka dan rating TV untuk perlawanan menentang Jepun paling rendah di Jerman dalam Piala Dunia sejak 30 tahun, Havertz menyedari cabaran bukan hanya di padang sambil berkata: “Saya tahu bukan semua orang di belakang kami.”



Havertz mendedahkan skuad berkenaan dan Flick mengadakan perbincangan Khamis lalu dan mengakui “ia masa yang tepat untuk memberitahu diri kami sendiri mengenai kebenaran.”

Havertz berkata “semua orang meninggalkan mesyuarat menyedari apa yang sudah berlaku.”

Pentingnya perlawanan menentang Sepanyol di Stadium Al Bayt tidak boleh diketepikan dengan pengurus skuad kebangsaan dan pemenang Euro 1996, Oliver Bierhoff bertanya mengenai apa yang akan berlaku pada masa depan bola sepak Jerman jika mereka sekali lagi tersingkir awal.

“Apa maknanya kepada bola sepak Jerman? Untuk pembangunan seterusnya?” tanya Bierhoff.



“Dan jika anda pergi lebih mendalam: (Apa maknanya) untuk pelaburan yang kita perlu buat untuk kekal kompetitif dan untuk memiliki pemain baharu dalam tujuh atau 10 tahun?”.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button