Malaysia naib juara Piala Dunia
KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw lelaki negara gagal dalam misi merangkul gelaran sulung di Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) 2022 selepas tewas di tangan musuh tradisi, Thailand pada aksi final, hari ini.
Pada pertembungan yang berlangsung di Kompleks Sukan Daejon Hanbat di Daejon, Korea Selatan itu, skuad negara yang dibarisi trio Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Amirul Zazwan Amir dan Mohamad Azlan Alias terpaksa akur apabila tewas 18-21, 19-21 di tangan Thailand.
Skuad Gajah Putih pada perlawanan itu membariskan trio Kritsanapong Nontakote, Thawisak Thongsai dan Yodsawat Uthaijaronsri.
Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Malaysia dikecewakan Thailand di pentas final selepas turut mengalami nasib sama pada edisi pertama pada 2011 di Kuala Lumpur dan 2017 di Hyderabad, India.
Piala Dunia ISTAF tidak dapat dilangsungkan pada 2014 dan dari 2018 hingga 2021 termasuklah akibat pandemik COVID-19.
Malaysia melangkah ke final pada edisi kali ini selepas menundukkan Korea Selatan 21-10, 21-15 di separuh akhir manakala Thailand mara menerusi kemenangan ke atas Jepun 21-8, 21-14.
BHOnline