Misi hidup mati Australia, Denmark
DOHA: Australia berpeluang memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Dunia Qatar tanpa memerlukan bantuan pasukan lain apabila mereka menentang Denmark pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub, malam esok.
Ketika tidak ramai memilih Socceroos sebagai pilihan pada pertembungan itu, hakikatnya kemenangan buat Australia akan menjamin tempat mereka ke pusingan 16 buat kali kedua, manakala keputusan seri mencukupi jika Tunisia tidak mampu mengalahkan Perancis yang sudah layak.
Keyakinan memuncak selepas mengatasi Tunisia 1-0 bagi kemenangan pertama mereka pada pusingan akhir Piala Dunia sejak 2010, Australia berazam kejayaan itu tidak harus dipersia-siakan dengan kegagalan bertindak baik malam esok.
“Keputusan itu tidak bermakna jika kami tidak mendapat keputusan yang dikehendaki menentang Denmark,” kata pertahanan tengah Harry Souttar, yang bertindak cemerlang berdepan Tunisia.
“Ia satu cabaran luar biasa… kedua-dua pasukan berpeluang dan itulah sebabnya anda bermain bola sepak, mencipta saat-saat genting yang mendebarkan.”
Denmark masih menyesali kegagalan mereka menjaringkan gol menentang Tunisia apabila sekadar seri 0-0 dan posisi mereka dalam kumpulan itu lebih menyukarkan apabila tewas 2-1 di tangan Perancis pada aksi kedua.
Layak ke separuh akhir Euro 2020 tahun lalu dan sering kali mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia, Denmark mempunyai kualiti untuk menundukkan Australia jika mereka boleh mengembalikan keupayaan meledak gol.
Kemenangan mungkin cukup buat mereka untuk mara ketika Tunisia dijangka tidak mampu mengalahkan walau pasukan kedua Perancis pada satu lagi aksi Kumpulan D malam esok.
Jurulatih Kasper Hjulmand berseloroh minggu ini beliau mungkin meminta untuk meminjam penyerang Norway, Erling Haaland namun realitinya beliau mampu menyandarkan harapan kepada pasukan yang menjaringkan purata tiga gol satu perlawanan pada pusingan kelayakan.
“Dalam pasukan ini kami mempunyai ramai penjaring gol,” katanya selepas kekalahan di tangan Perancis.
“Kami memiliki penyerang hebat selain pemain hebat di segenap penjuru padang yang boleh menjaringkan gol.”
Jurulatih Australia, Graham Arnold dijangka tidak merombak pasukannya, mungkin hanya menyenaraikan Ajdin Hrustic yang kembali cergas di bahagian tengah, tetapi memerlukan pemainnya mempamerkan satu lagi persembahan berani untuk berpeluang melangkah lebih jauh.
REUTERS