DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan

Rompin: Masyarakat Orang Asli di Kampung Denai di sini, berharap isu bekalan air bersih di kampung itu dapat diselesaikan bagi kemudahan dan kesihatan penduduk.

Tok Batinnya Yakil Apil berkata, walaupun bekalan air bersih diterima setiap minggu menerusi lori tangki, ia tidak memadai menyebabkan ada antara mereka berusaha mendapatkan air daripada sumber lain.

“Sekarang ini pun, ada antara kami guna air ‘boring’ (telaga tiub) yang dipam dari air bawah tanah tetapi airnya tidak berapa bersih dan berkeladak. Kami juga risau jika perlu terus menggunakan air ini.



“Sebab itu kami inginkan satu penyelesaian yang kekal yang bukan hanya untuk keselesaan penduduk, malah membantu menjimatkan duit kerajaan (daripada perlu menghantar air setiap minggu),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kampung Denai kira-kira 40 kilometer dari bandar Rompin terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan terdapat 85 rumah di perkampungan itu yang dihuni lebih 500 individu.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat penduduk terpaksa menadah air hujan dan mengambil air dari sungai berhampiran bagi memastikan bekalan air di kediaman masing-masing mencukupi.

Seorang penduduk, Hanapi Titi, 40, berkata, ada masanya dia perlu membeli air minuman daripada mesin mengisi air di sebuah stesen minyak dengan menunggang motosikal yang mengambil masa selama setengah jam untuk sampai.



“Kalau beli air, satu tong sudah sekitar RM7 hingga RM8… jadi jika setahun berapa yang sudah kami keluarkan (belanja) untuk dapatkan air bersih terutamanya untuk minum,” katanya.

Anak jati Kampung Denai, Awang Klang, 40, berharap masalah air sekian lama itu dijadikan keutamaan oleh calon yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) supaya masalah tidak lagi berlarutan.

“Masalah ini sudah terlalu lama… dari dulu sehingga hari ini masih masalah yang sama. Sudah penat untuk mengadu kerana seperti tiada penyelesaian,” katanya.

PRU-15 DUN Tioman akan diadakan pada 7 Disember ini selepas ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu dipercayai akibat serangan jantung.



Ia membabitkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button