3 kereta menggelongsor dalam cerun 10 meter

Seremban: Seorang penduduk di Taman Bukit Berlian di sini, terkejut selepas tiga kereta milik keluarganya menggelongsor ke dalam cerun sedalam 10 meter di hadapan rumahnya, pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 2.50 pagi itu, jalan di hadapan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 juga merekah sepanjang kira-kira 80 meter dengan kedalaman mencecah 0.6 meter.

Penduduk, Jessica Lee, 28, berkata, ketika kejadian semua ahli keluarga sudah tidur, namun dikejutkan dengan bunyi bising daripada rumah jiran yang mendakwa terdapat kereta yang terjatuh ke dalam cerun.



“Saya kemudiannya segera bangun dan mengejutkan ahli keluarga lain sebelum bergegas keluar dan mendapati tiga kereta kami yang diletakkan di seberang jalan di hadapan rumah sudah berada di kawasan runtuhan cerun.

“Kami semua takut lebih-lebih lagi jalan juga merekah seperti mahu runtuh. Kami tidak dapat tidur sehingga ke pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jessica berkata, dia tinggal di rumah berkenaan bersama sembilan lagi ahli keluarga dan bersetuju untuk berpindah kerana dengan keadaan cuaca hujan ketika ini mungkin berisiko akan berlaku runtuhan lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban Mohammad Idris berkata, selepas menerima panggilan pada 2.52 pagi, pasukannya bergegas ke lokasi.



“Kami tiba enam minit kemudian dan mendapati tiga kereta jenis Kia Forte, Honda City dan Toyota Avanza berada di kawasan cerun yang runtuh selain terdapat rekahan pada jalan di hadapan rumah.

“Pihak bomba masih melakukan tinjauan pagi ini dan agensi lain yang terbabit juga berada di lokasi bagi memantau dan mengenalpasti situasi pergerakan tanah,” katanya.

Mohammad berkata, dalam pemerhatian awal pihaknya mendapati enam rumah di kawasan itu mungkin terjejas dan berisiko dengan kejadian terbabit.

Menurutnya, kesemua 12 keluarga yang tinggal di jalan berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.



“Mereka bersetuju untuk berpindah dan kami difahamkan pihak kerajaan negeri akan membuka satu pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penduduk yang memerlukan.

“Cuaca hujan ketika ini dan kami bimbang jika berlaku pergerakan tanah lagi. Kami meminta semua penduduk memberikan kerjasama,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button