Waris Brian dan Imsha dicari

Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai mengesan waris kanak-kanak dan bayi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, pihaknya sedang mengesan waris kepada kanak-kanak lelaki bernama Brian Lee Cheng Hong, 8.

Beliau berkata, penjaga asal kanak-kanak itu dikenali sebagai Beng Chuang meninggal dunia pada 2012 akibat kemalangan di tempat kerja.

“Kanak-kanak itu pernah menerima penjagaan daripada warga emas berusia 62 tahun di bandar raya ini. Bagaimanapun kerana tidak mampu memberi penjagaan kepada Brian, wanita berkenaan memohon menempatkan kanak-kanak di pusat perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata, Brian kemudian ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak selama tiga tahun mulai 29 Disember 2015 hingga 29 Disember 2018.

“Kini Brian ditempatkan di pusat perlindungan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan terdapat pasangan suami isteri yang menunjukkan minat menjadikannya sebagai anak angkat.

“Bagi tujuan itu, kami mengesan warisnya dan berharap mereka tampil menghubungi JKM dengan segera.

“Bagi maklumat lanjut, boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Intan Suria Ismail di talian 07-2232606 atau 07-2232607,” katanya.



Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya juga mengesan ibu kandung bayi perempuan yang ditinggalkan di bangunan rumah kedai di Suria 7, Bandar Seri Alam pada April lalu.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis pada 28 April lalu, warga emas yang menemui bayi itu tidak memiliki sebarang maklumat berkaitan ibu kandung mahupun waris.

“Bayi berkenaan dalam keadaan sihat dan beberapa pasangan suami isteri juga menunjukkan minat bagi menjadi keluarga angkat.

“Bayi berkenaan kini berusia lebih tiga bulan. JKM berharap ibu kandung mahupun waris bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Imsha tampil bagi membincangkan masa depannya,” katanya.

“Bagi maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi pelindung kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker