Isu 3R : Hentikan provokasi

 

Oleh Pena Merah

Isu 3R : Hentikan provokasi
PERLEMBAGAAN Persekutuan dan Rukun Negara perlu terus dijadikan sebagai prinsip dan panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

TINDAKAN segelintir anggota masyarakat kita sendiri yang cuba mencetuskan pelbagai provokasi dan kontroversi sehingga membangkitkan rasa marah dan tidak puas hati sebahagian anggota masyarakat lain amat membimbangkan.

Ada sahaja yang cuba mengambil kesempatan dan bermain api apabila menyentuh isu-isu sensitif berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan institusi diraja. Akibatnya mula berlaku pelbagai pertelagahan terutamanya dalam platform media sosial dengan saling tuduh-menuduh dan menuding jari.

Anggota masyarakat perlu terus menyuburkan budaya toleransi dan bertolak ansur antara satu sama lain. Kita perlu banyak belajar dari generasi terdahulu yang sanggup bertolak ansur dengan mengetepikan segala ego serta kepentingan peribadi dan etnik masing-masing demi membuktikan kepada penjajah bahawa kita mampu bersatu hati dan bersedia untuk merdeka serta mampu membentuk negara dan pentadbiran sendiri dalam suasana kehidupan yang harmoni serta stabil.



Ini penting kerana pada hari ini kelihatan budaya bertolak ansur, sabar serta sedia berkorban itu kelihatan semakin terhakis. Defisit kepercayaan dan keyakinan terhadap etnik lain turut mengeruhkan lagi keadaan. Akibatnya kita mudah marah dan melenting serta terlalu mementingkan diri sendiri atau etnik masing-masing sahaja.

Selain itu, kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu terus dijadikan sebagai prinsip dan panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini. Kegagalan kita menghayati dan mengamalkan panduan ini boleh mencetuskan huru hara serta mengganggu gugat ketenteraman dan keamanan negara.

Kita perlu sedar betapa prinsip hidup berpaksikan panduan ini mampu mencegah kita dari menyentuh isu-isu sensitif seperti 3R yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Generasi muda terutamanya perlu memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip yang telah menjadi asas kepada kehidupan masyarakat majmuk selama ini supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membelakangkan undang-undang serta semangat perpaduan nasional.



Kita juga perlu menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan di semua peringkat lapisan anggota masyarakat. Aktiviti seperti kenduri rakyat, gotong-royong serta rumah terbuka di musim perayaan wajar dirancakkan supaya ianya mampu memperkukuhkan ikatan tali persaudaraan antara etnik sedia ada.

Para pemimpin masyarakat di semua peringkat perlu menggerakkan aktiviti yang terus menonjolkan kepelbagaian dan keunikan setiap etnik dalam usaha memupuk semangat perpaduan nasional di setiap komuniti. Mengambil tahu dan memahami amalan serta tradisi etnik lain termasuk makanan dan pakaian mampu mewujudkan budaya hidup saling hormat menghormati di antara sama sama lain.

Ibu bapa dan keluarga perlu memainkan peranan yang signifikan. Umpama melentur buluh biar dari rebungnya, anak-anak perlu diterapkan kepentingan memahami dan menghormati amalan dan budaya rakan-rakan dari etnik lain. Tuntasnya, perpaduan nasional perlu bermula dari rumah.

Tahun 2024, kerajaan bakal melaksanakan pelbagai reformasi dan inisiatif bagi mendepani konflik politik dan ketidaktentuan global sekali gus memulihkan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Sedarlah bahawa semua inisiatif yang bakal dilaksanakan hanya akan berjaya mencapai matlamat jika rakyat berbilang etnik hidup bersatu padu dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi atau etnik masing-masing. Marilah kita meraikan perbezaan dan terus menyuburkan perpaduan nasional.-UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Penganalisis isu semasa merangkap pentadbir Universiti Putra Malaysia

– Utusan –

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker