Pekerja kedai cuci kereta maut terseret atas jalan

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kedai cuci kereta maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer (KM) 18.9 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), malam tadi.

Kemalangan kira-kira jam 11.45 malam ketika Amirudin Ahmad Abdullah yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Ampang menghala ke ibu negara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata mangsa yang berusia awal 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Ampang.



“Siasatan awal mendapati kemalangan di laluan berselekoh lebuh raya tiga lorong sehala yang dipisahkan dengan tembok batu di tengah jalan.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan semasa melalui laluan berselekoh itu menyebabkan motosikal yang ditunggang terbabas ke lorong kanan jalan sebelum bergesel dengan tembok batu di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akibat pelanggaran itu, katanya, penunggang motosikal terjatuh dan terseret di atas jalan dan mengalami kecederaan pada bahagian muka sebelah kanan selain pendarahan di kepala.

“Semakan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan masih dilakukan. Sehubungan itu, kita meminta kerjasama saksi kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.



Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348 bagi membantgu siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button