Projek tebatan banjir RM7 bilion dibatalkan – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Beliau berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

“Kita akan meneliti semula beberapa kelulusan lama… yang baik kita akan teruskan tapi dengan pendekatan baharu. Soal kemiskinan, soal kesenjangan dan soal langkah-langkah utama untuk memacu pembangunan ekonomi.

“Saya juga tekankan beberapa kelulusan mutakhir termasuk kelulusan tebatan banjir yang peruntukannya sekitar RM15 bilion dan RM7 bilion sudah diluluskan tanpa proses tender secara teratur melalui rundingan terus.

“Saya telah minta fail itu tidak diteruskan, diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan hari ini.

Anwar berkata, ia membabitkan jumlah peruntukan yang bukan kecil dan keputusan meluluskannya secara rundingan terus itu dibuat dengan alasan kononnya untuk menyelesaikan masalah tebatan banjir.

Namun begitu, beliau berkata, tindakan itu akan menimbulkan masalah apabila ia tidak mematuhi peraturan dan membuka ruang untuk pihak tertentu mengambil kesempatan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker