Maghribi mara ke suku akhir, singkir Sepanyol
DOHA: Maghribi menewaskan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu selepas perlawanan pusingan 16 terakhir, sebentar tadi berkesudahan 0-0.
Pasukan Afrika itu memenangi penentuan penalti 3-0 selepas tiga pemain Sepanyol, Pablo Sarabia, Carlos Soler dan Sergio Busquets gagal menyempurnakan ketiga-tiga sepakan penalti mereka.
Achraf Hakimi kemudian mencipta sensasi buat Maghribi apabila menyempurnakan penalti kemenangan pasukannya.
Pemenang perlawanan itu terpaksa ditentukan dengan penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan selepas berakhir masa tambahan.
Anak buah Luis Enrique lebih menguasai permainan di Stadium Education City, namun tidak mendapat banyak peluang terbaik untuk diterjemahkan dengan jaringan.
Maghribi memiliki peluang keemasan untuk memenangi perlawanan, namun rembatan Walid Cheddira diselamatkan penjaga gol, Unai Simon sebelum pasukan Afrika itu berdepan beberapa detik cemas pada saat akhir.
Maghribi akan berdepan pemenang aksi 16 terakhir antara Portugal dan Switzerland yang akan berlangsung, sebentar lagi.
AFP