Rehatkan Ronaldo perancangan strategik – Santos
DOHA: Jurulatih Portugal, Fernando Santos, berkata keputusannya tidak menyenaraikan Cristiano Ronaldo dalam pasukan untuk perlawanan dimenangi 6-1 mengatasi Switzerland pada kelompok 16 terakhir Piala Dunia ialah ‘perancangan strategik dan tidak lebih daripada itu.’
Santos menyatakan rasa tidak gembira dengan reaksi Ronaldo selepas tidak beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Korea Selatan, tetapi berkata perkara itu tidak mendatangkan impak.
“Saya katakan ia sudah habis dan ia sudah habis. Cristiano Ronaldo seorang daripada pemain terbaik di dunia dan bermain secara profesional dan dia kapten pasukan, jadi kita harus memikirkan pasukan secara bersama,” katanya.
Ditanya sama ada ia keputusan paling sukar sepanjang kariernya untuk mengetepikan Ronaldo, Santos berkata: “saya sentiasa ada hubungan yang rapat seperti selalu, mengenalinya sejak berusia 19 tahun di Sporting dan kemudian bertahun-tahun dalam skuad kebangsaan,” katanya.
“Ronaldo dan saya tidak pernah keliru dalam hubungan kemanusiaan serta juga aspek peribadi dengan jurulatih dan pemain. Dia pemain yang sangat penting untuk berada dalam pasukan,” katanya.
Santos menjangkakan aksi ‘sangat sukar’ berdepan Maghribi pada suku akhir, tetapi pasukannya jelas berada pada tahap terbaik.
“Jika kami boleh terus seperti ini dan memperbaiki beberapa perkara, laluan kami akan lebih baik,” katanya.
AFP