Gvardiol ‘kereta kebal’ Croatia

Doha: Piala Dunia Qatar dianggap peluang terakhir kepada bintang veteran Croatia untuk menjuarai kejohanan utama tetapi pemain termuda dalam skuad Zlatko Dalic, Josko Gvardiol memainkan peranan penting dalam kemaraan mereka ke suku akhir.

Ujian seterusnya Gvardiol ialah tugas sukar menyekat jentera serangan Brazil pada aksi lapan terakhir malam esok.

Pertahanan tengah berusia 20 tahun itu beraksi setiap minit dalam empat perlawanan pasukannya setakat ini dengan prestasi cemerlang ketika seri tanpa menentang Belgium dan mengatasi Jepun menerusi penentuan penalti pada peringkat 16 terakhir.



Gvardiol dikaitkan dengan beberapa kelab besar Eropah termasuk Real Madrid dan Manchester United susulan prestasi mantap bersama RB Leipzig musim lalu.

Dia meningkatkan reputasinya sebagai pertahanan lengkap dalam saingan peringkat tertinggi walaupun memakai topeng muka selepas patah hidung bulan lalu.

Namun tahun lalu, Gvardiol dikritik selepas pasukannya tewas 3-5 kepada Sepanyol dalam masa tambahan di Euro 2020 tetapi tetap mendapat kepercayaan Dalic.



Jurulatih Croatia itu menurunkannya di Piala Dunia ketika pemain veteran Domagoj Vida yang mempunyai 100 kap hanya memerhatikan di bangku simpanan.

“Josko sangat muda namun kami yakin dan percaya kepadanya. Dia beraksi sangat baik bersama Leipzig,” kata Dalic.

“Saya percaya anda tak boleh menjadi pemain bagus tanpa sokongan jurulatih. Dia membuat kesilapan dan itu biasa tapi dia akan bertambah matang.”

Jika mampu mengekang kemaraan Neymar, Richarlison, Raphinha dan Vinicius Junior di Stadium Education City, masa depan Gvardiol bersama Croatia sangat cerah walaupun selepas Luka Modric dan pemain seangkatan dengannya bersara.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button