Permohonan peguam Siti Bainun dapatkan rakaman percakapan saksi ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini, menolak permohonan pasukan pembelaan kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, bagi mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah masih mempertimbangkan permohonan pembelaan untuk memanggil kembali tiga saksi pendakwa termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, kerana senarai nama saksi itu belum dimuktamadkan

Hakim, Izralizam Sanusi, menetapkan keputusan berkenaan selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan bertulis kedua-dua pihak pada Isnin dan Selasa lalu serta semalam.



“Bagi permohonan percakapan 15 saksi itu mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), pihak pembelaan berpendirian keterangan saksi terbabit amat diperlukan dan penting bagi menyediakan suatu pembelaan yang sempurna.

“Pendakwaan pula membantah permohonan itu dan berhujah rakaman percakapan itu dibuat semasa siasatan polis, oleh itu ia dilindungi sepenuhnya.

“Keputusan saya, rakaman itu adalah terlindung. Selain itu, pernyataan (rakaman percakapan) tidak boleh diterima dalam keterangan, kecuali mencabar kebolehpercayaan saksi. Dengan ini, saya menolak permohonan terbabit,” katanya.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan dikenali Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.



Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri minggu ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Izralizam memberi masa kepada pembelaan dan pendakwaan untuk berbincang bagi memuktamadkan senarai saksi yang perlu dipanggil semula selepas tiada keputusan dibuat berhubung permohonan itu.

Katanya, kedua-kedua pihak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian kerana perbicaraan bela diri membabitkan Siti Bainun hanya akan bermula bulan depan atas faktor kesihatan pengasas Rumah Bonda itu.



“Pembelaan cakap senarai tak muktamad, mungkin akan panggil saksi lain sebelum kes bela diri ditutup. Pembelaan kata menjadi ia menjadi hak tertuduh untuk dapatkan perbicaraan adil.

“Perkara itu menunjukkan permohonan itu bersifat mandatori. Pendakwaan pula berhujah tertuduh hanya boleh memanggil saksi lain, setelah memberi keterangan bela diri dan kemuka bukti sebelum putuskan siapa saksi berkenaan.

“Mahkamah mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk meneliti permohonan itu jika mendapati ia untuk melengahkan proses bicara, remeh dan menyusahkan. Pembelaan perlu kemuka senarai muktamad berserta tujuan dan alasan kerana ketika ini kita tidak menolak permohonan itu,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button