Penduduk di Mentakab mula berkemas barang untuk pindah

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Chatin di Mentakab, Pahang mula ambil langkah berjaga-jaga termasuk mengemas barang penting sebagai persediaan kemungkinan perlu berpindah kerana air sungai semakin deras dan mula melimpah sejak malam tadi.

Seorang penduduk kampung yang menghubungi BH, Julainie Abu Bakar, 45, berkata mereka berkemas barang berharga untuk diletakkan di tempat selamat selepas Air Sungai Semantan mula melimpah sejak malam tadi.

“Kami sedar air mula naik sekitar jam 3 pagi, walaupun kebanyakan rumah dibina berlantai tinggi dari tanah, kampung ini pernah tenggelam ketika banjir pada penghujung tahun lalu, jadi kami mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.



Tambah Julainie, setakat ini belum ada pihak berkuasa yang kelihatan kerana paras air belum di tahap bahaya.

“Kami bertindak awal demi keselamatan diri, tidak perlu tunggu pihak berkuasa keluarkan arahan baru nak bertindak, mungkin sudah terlambat. Lebih baik kita kemaskan dahulu barangan berharga, langkah ini mampu mengelakkan kerugian besar dan kehilangan dokumen penting,” katanya.

Tahun lalu, penduduk menyaksikan banjir terburuk apabila terlalu banyak kediaman penduduk di Temerloh dan Mentakab tenggelam.

Banjir tersebut turut menenggelamkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah kebangsaan Sultan Abu Bakar Mentakab dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab sehingga mangsa terpaksa berpindah ke PPS lain.



Kejadian banjir di Pahang itu semakin buruk seakan-akan mengulangi tragedi banjir besar 1971 apabila seluruh bandar Mentakab ditenggelami air.

Lebih menyedihkan, Mentakab dilanda banjir sebanyak dua kali pada tahun 2021 iaitu pada bulan Januari dan sekali lagi pada bulan Disember.

Dalam kejadian pada penghujung tahun 2021, seluruh bandar Mentakab dan kawasan sekitar berubah seperti air sungai yang keruh berwarna lumpur, susulan banjir besar yang melanda daerah itu sehingga menenggelamkan sebahagian besar penempatan penduduk, dengan air naik melepasi paras bumbung bangunan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button