Aksi terakhir Neymar bersama Brazil

1447983398

DOHA: Satu lagi edisi Piala Dunia buat Neymar berakhir dengan air mata dengan pemain termahal dunia itu memberi bayangan dia mungkin tidak lagi akan menyarung jersi Brazil selepas kekalahan memedihkan di tangan Croatia.

Pemain berusia 30 tahun itu meletakkan Brazil di depan pada masa tambahan sebelum dikecewakan Croatia menerusi penentuan sepakan penalti.

Bercakap kepada wartawan dengan suara yang bergetar, dia mengakui tidak boleh memberi ‘jaminan 100 peratus’ untuk terus mewakili Brazil.

Pemain yang mencatat 124 penampilan bersama Brazil itu akan berusia 34 tahun pada edisi 2026 di Amerika Utara.



Ketika Pele memenangi tiga Piala Dunia, Neymar nampaknya tidak akan meraih apa yang pernah dicatat Pele termasuklah beberapa lagi legenda yang pernah menjulang trofi kebanggaan itu bermula daripada Garrincha dan Jairzinho sehinggalah Romario serta Ronaldo.

“Saya tidak menutup pintu kepada pasukan kebangsaan tetapi saya tidak jamin yang 100 peratus saya akan kembali,” katanya.

Sekalipun Neymar bersetuju untuk terus beraksi dengan Copa America 2024 akan menjadi pertandingan seterusnya, Brazil yang tersingkir di tangan lawan dari Eropah dalam lima edisi Piala Dunia terdahulu akan melalui kitaran baharu.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku dengan pasukan Brazil pada masa akan datang tetapi kami hanya boleh meratapi apa yang sudah terjadi,” kata Neymar.



Brazil pasti dikendalikan jurulatih baharu selepas pengendali sedia ada, Tite mengundur diri.

Mereka juga pasti kehilangan pemain veteran seperti Thiago Silva dan Dani Alves sekali gus menyaksikan bintang muda seperti Vinicius Junior dan Rodrygo bakal memainkan watak penting.

“Kami perlukan pemain yang boleh ke depan untuk menjadi pemimpin tetapi kami juga ada ramai pemain yang boleh membimbing pasukan dan menjadi contoh,” kata penjaga gol, Alisson Becker.

“Kami ada pemain muda yang akan menjadi bertambah baik selepas belajar daripada Piala Dunia serta pemain berpengalaman yang masih boleh menyumbang kepada pasukan.



“Sukar untuk membincangkan mengenai masa depan kerana kami sedang bersedih buat masa ini tetapi harapnya masa depan kami akan cerah,” tambahnya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button