Bakal wujud kawasan perindustrian bertaraf dunia di Alor Gajah
Melaka: Kerajaan Negeri Melaka akan mewujudkan sebuah kawasan industri baharu bertaraf dunia di Alor Gajah dalam masa terdekat bagi menarik syarikat bertaraf Fortune 500 untuk melabur di negeri berkenaan pada tahun depan.
Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kawasan perindustrian baharu itu membabitkan keluasan kira-kira 2,023 hektar.
Beliau berkata kemudahan berkenaan boleh dijadikan tawaran baharu kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai satu daripada insentif yang boleh diberikan kepada pelabur.
“Pilihan (untuk melabur) ke Melaka ialah satu pilihan (baharu) kerana Melaka ada kawasan industri terancang (bertaraf dunia),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.