Rintihan ibu Eijas
Kuala Terengganu: “Pulanglah Eijas, ibu tunggu Eijas,” begitulah rintihan Nurul Ain Bakri, 33, yang tidak henti menangis selepas mendapat tahu anaknya, Muhammad Sufi Eijas Sobre, 3, dikhuatiri lemas di tali air Kampung Kebor Besar, Manir, di sini semalam
Nurul Ain percaya anaknya masih berada di bawah jambatan, lokasi kanak-kanak itu terjatuh ketika mahu melihat banjir bersama abangnya, Muhammad Shakir Wafiudin, 8.
“Naluri saya kuat mengatakan anak saya masih ada bawah jambatan,” katanya yang ditenangkan suami, Mohd Sobre Ramli, 33.
Memasuki hari kedua pencarian, wanita itu berharap anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui walaupun dalam keadaan terbujur kaku.
Katanya, dia reda dengan takdir Ilahi dan tidak putus berdoa untuk anak kesayangannya itu selain menunaikan solat hajat agar urusan pencarian dipermudah.
Menurutnya, Muhammad Sufi Eijas seorang anak yang aktif dan gemar bermain air, malah ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di Politeknik Kuala Terengganu.
“Suami tidak pernah membawa anak-anak ke sini (lokasi kejadian) sebelum ini dan tidak sangka pula dia membawa mereka hari ini (semalam),” katanya yang ditemui malam tadi.
METRO