Ronaldo tetap duta terbaik Portugal

LISBON: Sekalipun dia menghampiri penghujung kariernya, Cristiano Ronaldo tetap menjadi bintang utama media antarabangsa dan sebagai duta terbaik Portugal, dia membawa nama negaranya ke mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Pemain bintang itu bagaimanapun mengharungi detik terburuknya ketika ini. Dia tidak berjaya memenuhi impian menjuarai Piala Dunia bersama Portugal dan sudah tidak berpeluang lagi. Reaksi penuh emosinya selepas kalah di tangan Maghribi tular ke seluruh dunia.

Tangisannya menjadi kemuncak tahun yang dipenuhi kontroversi bersama bekas kelabnya Manchester United dan kemudian bersama pasukan kebangsaan Portugal.



“Memenangi Piala Dunia bersama Portugal adalah cita-cita tertinggi dan impian terbesar saya,” tulis Ronaldo dalam Instagram.

Ronaldo tidak merujuk secara langsung terhadap keputusan jurulatih Fernando Santos menyisihkannya ke bangku simpanan hingga babak kedua perlawanan menentang Maghribi. Namun kata-katanya jelas membuktikannya dan dia percaya masa akan menjadi penawar kekecewaannya dan setiap orang boleh membuat kesimpulan masing-masing.

Bintang bola sepak antarabangsa seperti pemain Perancis, Kylian Mbappe dan Pele dari Brazil kedua-duanya menyatakan mesej sokongan terhadap Ronaldo, begitu juga bintang bola keranjang Amerika Syarikat, LeBron James.



Pada usia 37 tahun, Ronaldo adalah fenomena global di dalam dan di luar padang.

“Tidak dinafikan Cristiano adalah jenama terkenal Portugal di seluruh dunia,” jelas Daniel Sa, pengarah eksekutif Institut Pengurusan Pemasaran Portugal.

“Anda mungkin memerlukan jenama wain, kasut dan pakaian. Kami tidak memilikinya, kami tidak pernah mempunyainya dan saya tidak fikir kami akan memilikinya. Tetapi kami ada jenama Cristiano Ronaldo,” katanya.



Sa, yang mengikuti perkembangan jenama bekas pemain Real Madrid itu selama 15 tahun, menganggarkan nilainya sekitar 200 juta euro (RM938 juta).

Angka membuktikan segala-galanya: Dia adalah personaliti paling popular dalam laman Instagram dan Facebook, dengan masing-masing lebih 500 juta dan 153 juta pengikut dan keenam paling popular dalam Twitter, dengan lebih 100 juta pengikut.

“Satu contoh popularitinya adalah sambutan peminat berikutan kehadirannya pada Piala Dunia di Qatar,” tegas Sa.



Pedro Dionisio, profesor pengurusan sukan di Sekolah Perniagaan ISCTE, yang mengiringi pasukan kebangsaan Portugal di Qatar, terkejut dengan banyaknya bendera dan jersi pasukan kebangsaan Portugal yang dipakai peminat warganegara berbeza.

“Saya bertanya kebanyakan mereka dengan soalan sama, ‘kenapa pilih Portugal’, dan jawapannya adalah sama setiap kali iaitu ‘Cristiano Ronaldo’,” kata Dionisio.

Ketika dia masih tidak mempunyai kelab dan masa depannya tidak menentu, Ronaldo tetap mengharumkan nama negaranya ke seluruh dunia. Dia baru sahaja membintangi kempen pelancongan yang membawa Portugal ke pusat legenda New York, Times Square.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button