Perginya pejuang sejati bola sepak
Rom: Sinisa Mihajlovic meninggal dunia pada usia 53 tahun apabila penyakit leukemia akhirnya melemahkan seorang tokoh berkarisma dan penuh kontroversi serta antara pemain paling dikenali di Serie A.
Mihajlovic, seorang pemain pertahanan kental dan pakar sepakan bebas, meninggal dunia di Rom selepas menghabiskan sebahagian besar kehidupan di Itali.
Beliau dihormati kerana permainannya dan dicaci kerana persahabatannya dengan panglima perang paramilitari nasionalis Serbia yang terkenal, Arkan.
Isterinya, Arianna dan lima anak mereka sedih dengan kematian Mihajlovic yang bermain untuk banyak kelab di Itali dan beraksi di Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 untuk Yugoslavia.
Beliau kemudiannya menjadi jurulatih, sebahagian besarnya di Serie A dan yang terbaru dengan Bologna, ketika beliau didiagnosis menghidap leukemia sejurus sebelum musim 2019-20.
Kerjaya kejurulatihannya kurang cemerlang berbanding apa yang dicapainya di atas padang dalam Serie A, di mana dia memenangi gelaran bersama Lazio dan Inter Milan tatkala diangkat sebagai pemain terkemuka apabila liga itu dianggap paling mencabar di dunia.
Mihajlovic berpindah ke Roma pada tahun 1992 dari Red Star Belgrade, di mana dia memenangi Piala Eropah, tetapi dia terkenal ketika di Lazio.
Dia memenangi gelaran Serie A, dua Piala Itali dan Piala Antara Juara dalam tempoh enam tahun bersama pesaing sengit Roma itu dan kekal sebagai tokoh wira di kalangan penyokong Lazio.
Lazio memberi penghormatan kepada seorang pahlawan di atas padang dan dalam kehidupan.
“Keberanian yang ditunjukkannya di padang permainan adalah kekuatan kedua berbanding perjuangannya ketika menghadapi penyakit serius yang tidak pernah melemahkan semangatnya,” kata bekas kelabnya dalam satu kenyataan.
AFP