Datuk Ramli, Alice dipilih Timbalan Speaker

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong, masing-masing dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat selepas pengundian dilakukan hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, Ramli memperoleh sokongan 148 undi, manakala Alice pula meraih 146 undi.

Mas Ermiyati yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pula meraih 74 undi.



Usul pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dibuat sejurus 222 Ahli Parlimen mengangkat sumpah pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15, hari ini.

Pada proses pengundian itu, setiap Ahli Parlimen perlu menulis nama calon yang disokong pada kertas diberikan kepada mereka, sebelum kiraan undi dibuat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan mencalonkan Ramli dan Alice sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mewakili blok kerajaan.

Cadangan itu disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.



Sementara itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula mencadangkan Mas Ermiyati sebagai calon jawatan itu sebelum disokong Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button