Pasaran saham dijangka lebih cemerlang tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan dijangka berprestasi lebih cemerlang pada 2023 dengan jangkaan pendapatan korporat yang memberangsangkan, demikian kata Maybank IBG Research.

Ia menyasarkan Indeks FBM KLCI bagi akhir tahun 2023 pada paras 1,660 mata.

Katanya, pada 2023 juga dijangka menyaksikan pengembangan pendapatan pasaran mengukuh kepada +17.3 peratus dengan tamatnya tempoh pelaksanaan Cukai Makmur.



“Keuntungan sektor bank terus bertambah baik dan pemulihan pantas dalam sektor yang ketinggalan seperti perjudian-kasino dan pengangkutan/penerbangan,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Maybank IBG Research berkata, pembukaan semula dipercepatkan oleh China akan meningkatkan perdagangan, pelancongan dan permintaan serta harga komoditi.

Ia berkata, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dijangka perlahan kepada 1.7 peratus pada 2023 berbanding 2.9 peratus pada 2022 dan berada di bawah paras 6.0 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Katanya, kemelesetan global lebih kepada ekonomi maju dan bukan ekonomi baharu muncul.



“Pertumbuhan KDNK ASEAN-5 (tidak termasuk Singapura) akan perlahan tetapi kekal berdaya tahan pada 4.7 peratus pada 2023, merosot berbanding 5.9 peratus pada 2022.

“ASEAN mungkin akan berkembang lebih pantas berbanding China (+4.0 peratus) untuk tahun kedua berturut-turut,” katanya.

Maybank IBG Research berkata, antara pemacu kepada pertumbuhan kukuh ekonomi di rantau ini adalah berikutan rangsangan positif pembukaan semula ekonomi sejak awal 2022 dan perdagangan antara ASEAN berkembang lebih 30 peratus mengimbangi kemerosotan eksport ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan China.

Ia berkata, konfigurasi semula rantaian bekalan pembuatan dari China meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN dengan ketara.



“Harga tenaga dan makanan global mungkin kekal tinggi meskipun kemerosotan global berikutan perang Russia-Ukraine yang berterusan, peralihan hijau dan kejutan iklim.

“Namun, beberapa negara ASEAN adalah pengeksport tenaga bersih (Indonesia, Malaysia) dan pengeksport makanan bersih (Thailand) dan berpeluang meraih manfaat itu (harga tenaga dan makanan tinggi),” katanya.

Maybank IBG Research juga berkata, antara faktor yang menyokong ketahanan pertumbuhan di ASEAN juga adalah langkah kebanyakan bank pusat di rantau itu yang mengetatkan dasar monetari/kadar faedah pada kadar yang lebih sederhana dan membenarkan pemulihan ekonomi mengukuh dan meluas.

Di samping itu, ia berkata, pengaliran modal dari China ke negara ASEAN ‘neutral’ seperti Singapura telah meningkat berikutan persaingan AS-China, peraturan keselamatan nasional yang lebih ketat dan strategi COVID yang berbeza.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading