MAFS, KPDN teliti syor warta telur ayam import sebagai barang kawalan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti syor untuk mewartakan telur ayam import dalam senarai barangan kawalan bagi memastikan harganya tidak dimanipulasi sesetengah pihak.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata perbincangan mengenai syor berkenaan sedang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ini kerana, katanya, harga telur ayam import tinggi sedikit berbanding stok tempatan, selain didorong faktor saiz yang lebih kecil berbanding gred A keluaran domestik.



Bagaimanapun, katanya, keutamaan MAFS ketika ini adalah bagi memastikan bekalan telur ayam mencukupi, terutama di kawasan dikenal pasti sukar menerima stok protein berkenaan.

“(Saiz) Telur sumber luar sedikit kecil tetapi sekarang ini isu yang kita mahu tangani adalah memastikan ketersediaan bekalan serta mencukupi bagi pasaran dalam negara.

“Peranan MAFS adalah memastikan bekalan ada, jadi isu saiz kecil atau besar adalah faktor luar kawalan, selain kita akan memastikan telur yang dibawa masuk (ke negara ini) berkualiti.

“Kita juga akan pastikan harga masih munasabah dan tidak keterlaluan,” katanya pada sidang media Program Pengedaran Kit Makanan Monsun Timur Laut dan Intervensi Pengedaran Telur Ayam ke Outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini.



Terdahulu, Haslina turut menyaksikan penyerahan lebih 7,000 kit makanan bagi mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahari.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button