Pengusaha hotel, pekerja Genting Highlands resah jalan tutup setahun
Batang Kali: Penutupan jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands selama setahun susulan tragedi tanah runtuh dekat sini, ternyata meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Genting Highlands.
Mana tidaknya, Batang Kali, sebuah bandar yang terletak di Hulu Selangor dan berdekatan dengan simpang menuju pusat peranginan utama negara itu, disifatkan penduduk sebagai ‘bandar Rehat dan Rawat (RnR)’ untuk orang ramai singgah menjamu selera atau menginap sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur atau utara termasuk ke Genting Highlands.
Pengurus sebuah hotel di sini, Riduan Adnan ketika ditemui Bernama berkata jalan berkenaan sering menjadi laluan alternatif bagi pemandu dari utara yang keluar menerusi Tol Tanjung Malim, seterusnya melalui Genting Highlands untuk ke pantai timur atau sebaliknya.
Riduan yang telah menetap di Batang Kali sejak 2012 berkata selain itu, hotelnya turut menjadi pilihan pengunjung terutamanya ketika musim cuti persekolahan memandangkan hotel-hotel di sekitar Genting Highlands agak mahal.
“Di Hulu Selangor ini, antara bandar yang paling ‘hidup’ ialah Batang Kali, sekali gus menjadikannya tumpuan utama tempat persinggahan bagi mereka yang ingin bercuti ke Genting Highlands namun tidak mampu mengeluarkan bajet yang besar.
“Atas faktor itu, ramai yang memilih untuk singgah dan menginap di bandar ini kerana jaraknya yang lebih dekat ke Genting Highlands, iaitu kira-kira setengah jam, selain harga makanan di sini yang lebih murah berbanding ‘di atas” (Genting Highlands),” katanya.
Pemerhatian Bernama mendapati bandar berkenaan meskipun adalah sebuah bandar kecil, namun mempunyai banyak kemudahan seperti stesen minyak, bank, hotel-hotel bajet, restoran makanan segera, restoran makanan Melayu yang menawarkan harga agak murah.
Riduan berpendapat kesan penutupan jalan tersebut mungkin belum dirasai sekarang namun akan hanya dirasai setelah beberapa bulan oleh semua pihak termasuk pengusaha restoran di sini selain akan menyaksikan jumlah pengunjung ke kawasan itu semakin berkurangan susulan penutupan jalan bagi kerja-kerja pembaikan cerun.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Selasa dilapor berkata jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.
Berikutan penutupan itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan (B113 Jalan Batang Kali-Ulu Yam sehingga ke B23 Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau melalui laluan utama (FT1001 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).
Pengusaha restoran di sini, Mohd Yasin Abu Bakar turut menzahirkan kerisauannya terhadap kesan ke atas perniagaannya yang sebelum ini menjadi lokasi persinggahan orang ramai sama ada dari pantai timur atau utara yang melalui laluan Batang Kali-Genting Highlands.
“Sebelum ini, premis saya menjadi tempat persinggahan orang ramai untuk makan terutamanya mereka yang turun dari Genting Highlands. Saya berharap kerajaan fikirkan satu solusi sebab kami para peniaga pun perlu fikirkan juga pelbagai kos untuk dibayar seperti gaji dan sebagainya,” katanya.
Ramai pihak bagaimanapun menyifatkan jalan alternatif tersebut adalah jauh, memakan masa, tenaga dan kos berikutan perlu melalui perjalanan sejauh 90 kilometer (km) dan mengambil masa lebih satu jam setengah untuk sampai ke Genting Highlands berbanding kira-kira 30 minit dengan jarak perjalanan sejauh 30km jika melalui jalan yang kini ditutup.
Melalui pemerhatian di media sosial pula, pengguna Facebook Nurul Amyra mengakui jalan alternatif agak jauh untuk berulang alik bekerja kerana perlu melalui Gombak untuk ke Genting Highlands, manakala pemilik akaun bernama Siti Noor Rahimaniza mencadangkan jalan Batang Kali-Genting Highlands hanya dibuka kepada pekerja di pusat peranginan itu.
“Buka jalan untuk staf Genting sahaja, kalau susah sangat, suruh majikan buat surat dan polis boleh jaga simpang Batang Kali di bawah…buat macam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu…yang bekerja saja bagi lepas ikut jalan itu,” kata Siti Noor.
Selain itu, terdapat juga cadangan dari penduduk sekitar yang meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada kenderaan ringan seperti motosikal untuk kemudahan penduduk yang tinggal di sekitar Batang Kali berulang alik ke tempat kerja di Genting Highlands.
Malah, Bernama turut difahamkan ketika ini terdapat juga pekerja di pusat peranginan berkenaan yang terpaksa mencari tempat tinggal sementara di Genting Highlands atau menginap di hostel yang disediakan majikan buat sementara waktu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali Harumaini Omar ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan berbincang bersama agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor mengenai perkara berkenaan.
Beliau berkata ini adalah bagi mencari penyelesaian dan kaedah terbaik dan selamat untuk pengguna jalan berkenaan terutama yang bekerja di Genting Highlands.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas (16 Dis) di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, setakat ini menyaksikan 30 nyawa terkorban, seorang lagi mangsa masih hilang dan 61 orang terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terbabit.
METRO