Tok Mat bakal kembali hangatkan sukan sepak takraw

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) sedia mempertimbangkan untuk memberi ‘pengampunan’ kepada bekas Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail bagi membolehkan beliau kembali bergiat aktif dalam sukan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata badan induk itu tidak pernah menutup pintu untuk Ahmad atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ kembali mewarnai sukan sepak takraw dan bersedia mempertimbangkan semula hukuman penggantungan selama 17 tahun yang dikenakan ke atas beliau sebelum ini.

“Mungkin esok atau lusa saya boleh buat sokongan agar ISTAF mahupun ASTAF mempertimbangkan agar mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atasnya,” kata Halim yang juga Presiden ASTAF pada sidang media di salah sebuah hotel di sini, semalam.



“Sekarang perjalanan PSM berjalan dengan baik, mungkin tiba masanya kami boleh gunakan pengalaman yang ada padanya (Ahmad) untuk membarisi pasukan Task Force Road to Olimpik.

“Sekarang ini saya punya tugas untuk selesaikan (kemelut) PSM dulu. Kita hari ini boleh jadi pemimpin, esok kita boleh turun ke bawah, jadi sebagai pemimpin kita mempunyai hati yang jujur, cekal, ikhlas dan lihat perkembangan.”

Bagaimanapun, Halim menegaskan fokus utama ketika ini lebih terarah untuk menyelesaikan permohonan PSM untuk kembali menjadi ahli gabungan ISTAF dan ASTAF.

Pada Mei 2021, ASTAF mengenakan hukuman penggantungan selama 15 tahun terhadap Ahmad selepas didakwa melanggar beberapa peraturan yang digariskan badan induk sepak takraw Asia itu termasuk Artikel 5.5.



Ia susulan tindakannya menulis surat bertarikh 24 Februari 2021 kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi tujuan mendapatkan campur tangan kedua-dua badan itu pada sesi pemilihan Kongres ASTAF pada 1 Mac 2021.

Hukuman berkenaan kemudiannya ditambah dua tahun lagi selepas Ahmad gagal melunaskan kos perbicaraan tatatertib yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625).

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button