KKM tangani kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melihat semua data terkini, melaksana audit dan penyelidikan berkaitan bebanan tugas serta isu kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara, khususnya di hospital pakar.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM sudah mula merangka pelan dan perancangan bagi menyelesaikan isu kesesakan di jabatan terbabit serta memastikan kekal memberikan perkhidmatan yang cekap.
Beliau berkata, kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma dipandang serius KKM dan masalah kembali selepas situasi COVID-19 dilihat kian reda yang mana pesakit bukan kes COVID-19 juga memenuhi hospital awam.
“Saya memahami situasi yang berlaku ketika ini yang sememangnya menyukarkan pesakit dan warga KKM sendiri. Usaha untuk mengatasi isu ini perlulah membabitkan pelbagai pihak dan pemegang taruh.
“Contohnya, bagi mengetahui masalah dan keperluan khusus mengikut negeri, KKM akan lakukan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan yang relevan antaranya pihak jabatan kecemasan sendiri, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Association of Private Hospitals Malaysia (APHM) dan sektor swasta.
“Ini amat penting kerana pendekatan yang lebih holistik perlu diambil bagi menangani isu ini berdasarkan data dan maklumat yang lebih spesifik.
“Selain itu, KKM juga akan melihat kepada potensi kerjasama strategik bersama sektor swasta termasuk Pengamal Perubatan Am (GP) bagi memperkasakan lagi penjagaan kesihatan primer. Dengan kerjasama ini, ia dilihat mampu mengurangkan kehadiran pesakit ke Jabatan Kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata, KKM secara konsisten berusaha mengatasi masalah kesesakan ini dengan mengadakan perbincangan dan memohon keperluan dana serta kakitangan tambahan daripada agensi pusat bagi mengatasi masalah peruntukan, kekurangan kakitangan, peralatan dan infrastruktur.
Beliau berkata, pada masa sama, pelbagai inisiatif juga telah dilaksanakan KKM bagi meningkatkan kecekapan pengendalian pesakit.
Katanya, situasi kesesakan ini juga sudah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 yang disiarkan pada 24 Jun 2019 yang menyebut, punca yang dikenalpasti menyumbang kepada kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah daripada peruntukan yang diberi tidak mencukupi, anggota kesihatan yang kurang dan kekurangan fasiliti bagi menampung keperluan perkhidmatan kepada para pesakit.
“Situasi ini bukan sahaja dihadapi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, tetapi ia turut berlaku di Klinik Pesakit Luar, Wad Pesakit Dalam dan juga di Klinik Kesihatan.
“Masalah ini turut dihadapi di negara lain. International Federation of Emergency Medicine (IFEM) melalui kenyataan menyebut, berdasarkan tinjauan ke atas 41 negara anggota IFEM pada November 2022, 100 peratus daripada negara anggota telah melaporkan fenomena itu di Jabatan Kecemasan masing-masing.
“Antara punca yang telah dikenal pasti termasuk bilangan pesakit yang tinggi datang ke Jabatan Kecemasan, kekurangan sumber termasuk kakitangan dan kekurangan katil hospital bagi membolehkan pesakit dikeluarkan dari jabatan kecemasan untuk rawatan definitif.
“Situasi sedemikian turut dialami di Australia (Australasian College for Emergency Medicine (ACEM) pada Mac 2021,” katanya.
Selain itu Dr Zaliha berkata, KKM mengingatkan semua pihak
bahawa fungsi Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah untuk memberi rawatan kepada individu yang benar-benar memerlukan rawatan kecemasan.
“Justeru, KKM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk melipatgandakan lagi kempen kesedaran kepada masyarakat tentang fungsi sebenar Jabatan Kecemasan.
“Segala pelan dan perancangan ini bukanlah untuk tindakan jangka masa pendek, sebaliknya perancangan jangka panjang yang selaras dengan perkara utama Kertas Putih KKM yang bertujuan memperkasa dan mereformasikan perkhidmatan kesihatan di negara ini,” katanya.
BHOnline