Penemuan mangsa ubat paling mujarab hilang penat anggota SAR

KUALA LUMPUR: Menganggotai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor tidak semudah disangkakan, malah ia memberi kesan mendalam kepada petugas di lokasi kejadian.

Selain dampak terhadap fizikal, tragedi yang merekodkan kadar kematian ketiga tertinggi dalam sejarah kejadian seumpama itu di negara ini turut memberi kesan kepada emosi petugas yang bertungkus-lumus selama sembilan hari.

Meskipun hari bersilih ganti, ia bukan penghalang bagi usaha mencari baki mangsa yang dilaporkan masih tertimbus dalam timbunan runtuhan cerun sehingga misi SAR diisytihar ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari semalam.



Mengimbau misi SAR, Ketua Zon Enam Hulu Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ahmadi Muhamad Hasan, mengakui berdepan detik sukar apabila pasukan menyelamat tidak mengetahui kewujudan tapak perkhemahan terbabit.

Lebih meruntun hati, katanya, apabila petugas SAR berdepan rayuan mangsa terselamat yang memohon bantuan untuk mengesan anak, saudara dan rakan yang gagal menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.

“Kesukaran bermula sejak awal pagi lagi sejak menerima panggilan dan perlu memulakan operasi dalam keadaan gelap, selain kita tak tahu pun wujud kawasan kem ini.



“Berbekalkan petunjuk awal, iaitu pintu putih kita terpaksa redah juga mencari lokasi kejadian. Kebetulan bomba dari Genting Highlands sudah tiba dan pihak polis sudah ada di sini untuk menunjuk arah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Biarpun mayat empat sekeluarga berjaya ditemui pada hari ketujuh misi terbabit, namun pegawai bomba berusia 42 tahun itu menjelaskan operasi SAR terus berdepan kesukaran apabila gagal menemui sebarang perkembangan baharu selepas detik itu.

Beliau antara lain mengakui ada kalanya emosi petugas di ‘ground zero’ terjejas terutamanya apabila gagal menemukan mangsa atau petunjuk mengenai keberadaan mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan tanah.



Namun, katanya, terapi minda dan kata-kata semangat perlu diberikan kepada pasukan penyelamat, bertujuan memulihkan kembali motivasi bagi meneruskan kerja pencarian mangsa.

“Kesukaran semakin memuncak apabila kami gagal menemui sebarang petunjuk selama dua hari, menyebabkan pasukan SAR lemah semangat.

“Kita sebagai pasukan penyelamat, penemuan mangsa itu adalah ubat yang paling mujarab menghilangkan rasa kepenatan. Sebab macam saya katakan tadi, kalau tiada hasil (penemuan mangsa), kita lemahlah.

“Keadaan terbabit membuatkan kita terpaksa memberi terapi minda kepada mereka (pasukan). Kita beri kata semangat supaya esoknya mungkin ada petunjuk yang akan memberi keyakinan semula kepada pasukan SAR,” katanya.



Ditanya keadaan mangsa terselamat, Ahmadi yang juga bapa kepada seorang anak itu mengakui tidak mudah untuk berdepan situasi meruntun hati itu.

“Keadaan mangsa kalau nak diikutkan, saya pun boleh jatuh air mata, tetapi kita sebagai penyelamat tidak boleh tunjukkan kelemahan (di hadapan mangsa). Ada yang masih mampu berkomunikasi dan tidak kurang juga mangsa dalam keadaan lemah dan trauma.

“Kita terpaksa mendapatkan maklumat sebanyak mungkin daripada mangsa terselamat. Bagaimana ‘lay out’, posisi dan keadaan. Saya juga bawa mangsa untuk buat petunjuk di lokasi berkaitan.

“Menerusi maklumat ini, kita sudah boleh melakukan plot di sektor A, B, dan C bagi memudahkan (misi SAR) sebab itu dari awal pun kita jangkakan kes ini tidak mudah untuk diselesaikan,” katanya.



Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani secara rasmi menamatkan misi SAR tragedi tanah runtuh itu pada jam 12 tengah hari, selepas pihaknya mengesahkan tiada lagi mangsa yang hilang dalam kejadian terbabit.

Seramai 92 mangsa terbabit dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban dalam kejadian awal pagi 16 Disember lalu itu.

Daripada angka korban itu, 18 adalah dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun.

Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A (hill view), satu di sektor B (farm view) dan 10 lagi di sektor C (river side).



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button