Penyokong Muslim kecam Salah

London: Bintang Liverpool, Mohamed Salah menerima kritikan hebat di media sosial oleh penyokong Muslim selepas dia menyiarkan foto keluarganya bersebelahan pokok Krismas.

Salah yang juga seorang Muslim turut berkongsi tulisan ‘#MerryChristmas’ bersama foto itu di akaunTwitter dan Instagramnya.

Pemain berusia 30 tahun itu dan keluarganya – isteri Magi dan anak mereka Makka dan Kayan berpakaian pijama dalam foto terbabit.



Namun ciapan Salah tidak disenangi penyokong Muslim dengan kebanyakan kritikan dihantar dari luar United Kingdom.

Seorang peminat berkata: “Saya akan berhenti mengikuti anda dan tidak menyokong Liverpool kerana anda meraikan Krismas bersama penganut agama itu.”

Seorang lagi berkata: “Saya menjadi penyokong Liverpool sejak kecil lagi tetapi kini saya berhenti menyokong kerana anda meraikan Krismas. Anda baru sahaja kehilangan saya sebagai peminat Mo Salah. Selamat tinggal!”



“Mo Salah, saya suka awak sebagai peminat Madrid. Saya anggap anda pemain hebat dan sering menjadi inspirasi saya. Tetapi selepas ciapan ini saya tidak lagi anggap anda sebagai contoh.

“Anda mengecewakan saya. Jika anda tidak memadamkan ciapan ini, saya tidak akan mengikuti anda lagi,” kata seorang lagi peminat.

Bagaimanapun, ada juga yang mempertahankan penyerang Mesir itu apabila menganggap dia pemain terhebat Afrika.



“Kepada kami anda adalah gabungan Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Kylian Mbappe. Nikmatilah,” kata mereka.

Seorang lagi peminat berkata: “Ucapan Krismas paling ditunggu-tunggu.”

Salah dijangka tampil dalam kesebelasan skuad Jurgen Klopp pada aksi pertama Liga Perdana sejak Piala Dunia dengan kunjungan ke Aston Villa pada Boxing Day.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button