Adiwira ikonik depan mata
KUALA LUMPUR: Peminat adiwira popular ciptaan DC Comics seperti Superman, Batman dan Wonder Woman pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan karakter kegemaran di depan mata melalui The World of DC Exhibition di Pusat Konvensyen Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya, Selangor, mulai Jumaat lalu hingga 1 April depan.
Lebih mengujakan, apabila pameran yang dibawakan khas penganjur rasmi, WOW Event Asia itu julung kali diadakan di Asia, lantas mencipta sejarah tersendiri buat negara.
Menambah tarikan, The World of DC Exhibition menampilkan beberapa konsep seperti seni filem, pakaian, pameran adiwira dan peralatan bersaiz sebenar selain diselitkan pelbagai elemen interaktif yang menjanjikan pengalaman berbeza buat penonton.
Lebih 100 konsep seni asli memberi peluang kepada pengunjung merasai suasana di sebalik tabir yang unik.
Pengunjung juga dibawa menjelajah ke tujuh zon berbeza yang memfokuskan kepada adiwira ikonik seperti Superman, Batman, Wonder Woman, Aquaman termasuk beberapa watak Super-Villains iaitu Harley Quinn, Joker dan El Diablo.
Pada penghujung pameran, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai barang atau cenderamata eksklusif adiwira pilihan masing-masing.
Pengarah Eksekutif WOW Event Asia, Mary Koh, berkata penganjuran The World of DC Exhibition di Malaysia adalah tindakan berani diambil pihaknya berikutan negara masih dalam fasa peralihan endemik.
“Kami mengaku ini antara tindakan berani yang dibuat kerana kehadiran peminat masih sukar dijangka.
“Sudah tentu, pada masa sama, kami mahu mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia agar dapat membantu menjana ekonomi negara.
“Kami ambil masa sebulan untuk membuat persiapan selain memastikan apa yang dipamerkan selamat untuk semua pengunjung,” katanya kepada BH Online.
Mary berkata, The World of DC Exhibition dianggap acara yang sangat mengujakan selain menjanjikan pengalaman baharu buat peminat adiwira DC.
“Ini adalah pameran adiwira di bawah label DC yang pertama di Asia. Jadi, ini dianggap sejarah bermakna.
“Pengunjung berpeluang menyaksikan alat peraga setiap adiwira dengan saiz sebenar.
“Sudah tentu kami ada menyediakan pelbagai aktiviti yang menjadi tarikan sepanjang perjalanan dalam lokasi pameran.
“Jika diikutkan, DC mempunyai pelbagai watak. Apa yang kami buat adalah memilih adiwira yang menjadi kesukaan dan pilihan ramai,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika merasmikan The World of DC Exhibition, baru-baru ini, menyokong penganjuran acara itu.
“Acara ini memberi peluang kepada sektor pelancongan tempatan kembali mendapatkan pasaran mereka.
“Selepas sempadan dan ekonomi negara dibuka, Julai tahun lalu, kita dapat lihat kehadiran pelancong yang sangat tinggi.
“Jadi, dengan adanya program seperti ini, ia akan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Amirudin berkata, watak seperti Superman, Wonder Women dan Batman (dipamerkan) yang boleh dikatakan karakter malar segar, semestinya mendapat perhatian ramai.
“Selain itu, watak baharu menjadi perhatian generasi lebih muda.
“Saya percaya pameran ini boleh mengisi cuti sekolah dan pada masa sama, dapat memberi peluang kepada perniagaan runcit di Selangor,” katanya.
Amirudin yakin The World of DC Exhibition mampu mencatat kunjungan pelawat memberangsangkan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
“Sasaran penganjur adalah seramai 200,000 pengunjung. Namun, saya percaya kalau promosinya dapat dilaksanakan dengan baik, pasti mencatatkan pengunjung lebih tinggi.
“Saya percaya angka yang disasarkan itu boleh dicapai dalam tempoh tiga bulan pameran ini berlangsung dan mungkin akan meningkat lagi,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM38 untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun dan RM55 bagi dewasa. Tiket ekspres yang mana pengunjung tidak perlu beratur panjang untuk masuk ke pameran dijual pada harga RM150.
Tiket boleh dibeli dengan melayari www.woweventasia.com atau di kaunter Pusat Konvensyen Tropicana Gardens Mall.
BHOnline