Laut bergelora, harga ikan meningkat

KUALA KEDAH: Harga ikan kembung meningkat hari ini sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram berbanding RM6 sekilo semalam.

Selain itu, tinjauan mendapati, harga hasil tangkapan laut seperti udang dan sotong juga meningkat disebabkan kekurangan tangkapan.

Peniaga ikan, Khadijah Md Syah, 48, berkata, kekurangan tangkapan hari ini disebabkan laut bergelora akibat Monsun Timur Laut selain fenomena air pasang besar yang berlaku sepanjang minggu ini pada waktu tengah malam.

Katanya, harga ikan tidak sama setiap hari kerana bergantung pada hasil tangkapan yang diperolehi serta saiz.



“Kalau laut bergelora, ramai nelayan terutama bot kecil takut nak turun ke laut menyebabkan tangkapan berkurangan

dan adakalanya tiada.

“Semalam, ikan banyak kami jual antara RM6 sekilo tetapi hari ini harganya mencecah RM10 hingga RM12 kerana ikan kurang.

“Nelayan mampu memperoleh sekitar 25 hingga 30 kg ikan kembung saja hari ini dan kami jual di sini dengan harga yang lebih murah dari pasar awam,” katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini hari ini.



Khadijah berkata, sekiranya keadaan ombak beralun berterusan, berkemungkinan besar harga ikan akan melonjak sempena sambutan Tahun Baru Cina, bulan depan.

Katanya, harga kerang segar pula dijual antara RM10 hingga RM12 bergantung pada saiz.

Sementara itu, Peniaga ikan, Ahmad Hashim, 76, berkata, harga ikan yang dijual di sini tidak sama setiap hari dan bergantung pada hasil tangkapan bagi menampung kos nelayan yang turun ke laut.

Katanya, kekurangan hasil tangkapan ikan kembung hari ini menyebabkan dia hanya mampu menjual ikan yang ada untuk menyara keluarga.

“Ikan kembung borek dijual pada harga RM15 sekilo manakala ikan gerut-gerut RM20 sekilo serta cencaru RM10 sekilo.

“Memang saban tahun akan berlaku keadaan laut bergelora akibat perubahan monsun dan keadaan dijangka stabil sekitar Februari tahun depan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker