Man United bermula baik tanpa Ronaldo
MANCHESTER: Manchester United bermula positif tanpa Cristiano Ronaldo dengan Marcus Rashford dan Anthony Martial meledak gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Bagaimanapun pengendalinya, Erik ten Hag masih mencari penyerang baharu menggantikan bintang Portugal itu bagi menambah ketajaman jentera serangan United.
Karier Ronaldo di Old Trafford berakhir ketika rehat Piala Dunia selepas dia menyelar Ten Hag dan pemilik kelab dalam satu wawancara.
Di atas padang, pengaruhnya semakin pudar selepas pengendali dari Belanda itu mengambil alih pasukan di awal musim ini.
Rashford antara pemain yang melonjak naik di bawah Ten Hag dan dia meneruskan prestasi cemerlangnya ketika bersama England di Piala Dunia sebaik Liga Perdana Inggeris bersambung.
“Pemain-pemain kami beraksi cemerlang di Piala Dunia, saya gembira melihatnya dan kini rentak itu diteruskan. Mereka perlu kekal di tahap itu, terus mara dan berkembang di setiap perlawanan,” kata Ten Hag.
Rashford membuka jaringan pada minit ke-19 hasil umpanan Christian Eriksen dan Martial menambah jaringan tiga minit kemudian.
United memulakan permainan tanpa Lisandro Martinez yang masih meraikan kejayaan Argentina di Piala Dunia, Diogo Dalot yang cedera dan Harry Maguire yang belum pulih sepenuhnya.
Raphael Varane terpaksa memulakan permainan hanya sembilan hari selepas beraksi 113 minit untuk Perancis di final Piala Dunia, manakala Luke Shaw bermain sebagai bek tengah buat kali pertama.
United mendapat gol ketiganya hasil jaringan Fred tiga minit sebelum tamat permainan. Kemenangan itu meletakkan United hanya satu mata di belakang kelompok empat teratas tetapi kurang satu perlawanan.
AFP