Pemilihan Umno, Anwar sokong siapa?
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Pemilihan Umno akan kembali jadi tumpuan pemerhati yang melihat perkembangan semasa politik tanahair selepas PRU15.
Tumpuan utama sudah tentu siapa yang akan disokong Anwar bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan untuk jangkamasa panjang.
Namun, kali ini, pemilihan Umno yang bakal dilangsungkan akan diwarnai pelbagai corak serta gandingan-gandingan yang dijangkakan agak luarbiasa.
Walau dikatakan wujud pertembungan ‘kabilah-kabilah’ tertentu, dua ‘kabilah’ utama menjadi perhatian yang menarik perhatian ramai.
Kem pro-presiden atau digelar sebagai ‘Geng WTC’ dan kem pro-exPMO, yang dikenali dengan gelaran ‘Geng Broker’ menjadi tumpuan untuk percaturan Umno waktu pemilihan.
Pertembungan antara yang mahu mempertahankan Presiden Umno dengan yang mahu menaikkan individu tertentu bukan perkara baru.
Desakan agar Zahid melepaskan jawatan Presiden bukan perkara baru. Pemuda Umno pernah meminta Zahid meletakkan jawatan selepas menang pemilihan namun beliau memilih untuk bercuti dari tugas buat sementara waktu.
Reda desakan Pemuda, Zahid meneruskan tugas beliau selaku Presiden dengan memimpin Umno menang Pilihanraya Kecil bersama gandingan Timbalan Presiden serta pengaruh Najib Razak.
Ini memberi kelebihan kepada Zahid untuk terus bertahan walau dalam masa sama beliau diberikan tekanan politik dengan pelbagai pertuduhan di Mahkamah.
Namun segalanya berubah 360° selepas Umno diberikan keisitimewaan kembali ke Putrajaya serta jawatan Perdana Menteri dalam sebuah kerajaan campuran.
KALAH PRU15 DAN ‘KLUSTER MAHKAMAH’ DIGUNAKAN SEBAGAI BAHAN KEMPEN PEMILIHAN
Ketika itu, perancangan untuk menumbangkan Zahid semakin serius dan percubaan dilakukan dengan pelbagai cara dan helah. Kali ini, kegagalan BN/Umno pada PRU15 dijadikan modal kempen pada pemilihan akan datang.
Malah, kerjasama BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan turut digunakan sebagai alasan terbaik untuk menumbangkan bukan sahaja Zahid tetapi turut akan dijadikan mangsa ialah Timbalan Presiden, Mohamad Hj Hasan.
Ini bagi memastikan perancangan menguasai Umno sepenuhnya tercapai bagi memudahkan urusan ‘jual beli’ dilakukan oleh pihak tertentu yang selama ini berselindung dibelakang tabir.
Sekali lagi suara Pemuda Umno digunakan tetapi ditambah dengan ‘bantuan’ daripada pihak tertentu yang mahu menguasai Umno agar Presiden akan datang menurut apa sahaja kemahuan si ‘pemberi bantuan’.
‘Geng Broker’ mungkin telah menemui sebahagian besar Ketua Bahagian Umno seluruh negara dan menghulurkan ‘bantuan’ untuk menjamin perancangan mereka berjaya dilaksanakan kali ini.
Adakah perancangan ‘Geng Broker’ akan tercapai nanti? Jika tercapai hasrat, adakah akan berlaku sekali lagi tsunami politik yang akan membawa kepada perubahan kerajaan dan menukar Perdana Menteri seperti apa yang berlaku sejak Mei 2018 sehingga Ogos 2021?
Rekod politik Malaysia yang tidak pernah terbayang, 3 kali Perdana Menteri silih berganti dalam tempoh penggal parlimen mungkin boleh berlaku sekali lagi. Cuma kali ini, pertukaran hanya membabitkan ‘Geng Broker’.