Bernas perlu umum harga siling beras putih import

Oleh – Syeikh Baran


Bernas perlu umum harga siling beras putih import
Bernas digesa mengumumkan harga siling bagi beras putih import (BPI) untuk disebarkan kepada umum. (Gambar kecil: Syed Abu Hussin)

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) digesa mengumumkan harga siling bagi beras putih import (BPI) untuk disebarkan kepada umum.

Pengerusi Pasukan Petugas (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, harga BPI tidak menentu kerana mengikut jenama.

Beliau berkata, keputusan itu juga untuk memastikan pengguna tidak terkeliru dengan harga yang dijual antara RM36-RM65 walaupun gred BPI adalah sama.

“Setakat ini belum nampak pihak yang terlibat menetapkan harga siling untuk BPI walaupun kerajaan bersetuju mengurangkan RM2 sekampit daripada harga asal RM37 menjadi RM35.

“Apabila ada harga siling, rakyat boleh buat rujukan untuk membuat pilihan melalui pelbagai jenama yang ada di pasaran, jadi Bernas perlu segera laksanakan perkara ini,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya juga mengharapkan senarai kesemua pengilang yang bakal mengeluarkan serta membekalkan beras putih tempatan (BPT) dapat diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini, mesyuarat NACCOL dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Mac lepas memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu beras.

Antara tindakan itu termasuk kerajaan mengarahkan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang berjumlah 140 ribu tan metrik diproses serta dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan.

Terdahulu Syed Abu Hussin ditemui ketika meninjau program jualan murah sempena Aidilfitri di Kampung Benggali di sini.

Program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan lebih 3,000 ekor ayam berharga RM7 sekilogram habis dijual dalam tempoh dua jam.

Selain ayam, orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan lain seperti daging, ikan, telur, beras pada harga yang lebih murah daripada pasaran semasa. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker