Dipanggil ‘ajumma’, seorang wanita tikam tiga individu

SEOUL: Kerana dipanggil ‘ajumma’ yang merujuk wanita berumur pertengahan umur, seorang wanita bertindak menikam tiga individu dalam kejadian yang berlaku dalam kereta api bawah tanah di Korea Selatan, kata polis semalam.

The Korea Herald melaporkan, wanita yang identitinya dirahsiakan didakwa kerana mencederakan dua wanita dan seorang lelaki, masing-masing berumur lingkungan 60-an dan 50-an ketika sebuah kereta api sedang menuju ke Stesen Jukjeon di bandar Yongin, wilayah Gyeonggi.

Walaupun panggilan ‘ajumma’ kebiasaannya digunakan merujuk wanita berumur pertengahan umur dan berasal daripada istilah lebih sopan iaitu ‘ajumeoni’, itu juga boleh dikaitkan dengan konotasi negatif dalam kalangan warga Korea.



Berdasarkan kajian pakar terhadap wanita, istilah ‘ajumma’ berkait rapat dengan jenis perbuatan stereotaip yang digunakan dalam masyarakat Korea untuk mengejek.

Penggunaan perkataan itu turut dilihat sebagai agresif dan merujuk seseorang yang mementingkan diri sendiri atau bahkan dianggap ‘kurang sifat kewanitaan’.

Pakar berkata, ia diburukkan lagi oleh masyarakat yang kurang menghormati pekerja yang berkecimpung dalam kerja rumah dan penjagaan kanak-kanak.

Menurut pihak polis kereta api bawah tanah Korea Selatan, tertuduh ketika itu sedang bercakap menerusi telefon bimbit apabila salah seorang daripada dua wanita yang memintanya untuk memperlahankan suara, memanggil tertuduh ‘ajumma’.



Panggilan itu menyinggung perasaannya.

Salah seorang mangsa yang cedera ditikam terpaksa dibedah, namun tiada sebarang kecederaan teruk.

Pihak berkuasa sedang mencari jalan untuk mendakwa tertuduh melakukan ‘keganasan khas’ ke atas orang lain.

Sama seperti serangan teruk, pertuduhan ini boleh dibuat apabila kecederaan dilakukan menggunakan senjata maut atau kuasa kolektif, sehingga boleh dihukum penjara satu hingga 10 tahun.



Selain itu, membawa senjata juga melanggar Perkara 42 Akta Keselamatan Kereta Api walaupun pihak berkuasa tidak meminta pertuduhan untuk kesalahan khusus terbabit.

Jika diimbau keadaan sebelum ini, penggunaan perkataan ‘ajumaa’ pernah mengundang kontroversi pada masa lalu.

Pada 2021, calon datuk bandar Seoul ketika itu, Ahn Cheol-soo daripada Parti Rakyat yang kita dibubarkan, pernah dikecam apabila merujuk lawannya iaitu Park Young-sun daripada Parti Demokratik Korea sebagai ‘ajumma yang mempunyai pangsapuri di Tokyo’.

Pada 2019, mahkamah tempatan mengekalkan keputusan menggantung seorang anggota tentera berpangkat kolonel setelah didapati merujuk seorang wanita yang juga anggota tentera berpangkat bawahan sebagai ‘ajumma’, kerana mempunyai implikasi menghina.



AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button