Lampard puji karektor pemain berjaya ikat City

Manchester: Pengendali Everton, Frank Lampard percaya “karektor keazaman dan perjuangan” yang dipamerkan pasukannya ketika seri 1-1 dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris adalah contoh yang perlu diikuti pada masa hadapan.

Pasukannya ketinggalan satu gol selepas Erling Haaland membuka jaringan buat City pada separuh masa pertama tetapi bangkit mencuri satu mata hasil daripada usaha menakjubkan Demarai Gray dari jarak jauh.

Dengan 11 minit ditambah pada separuh masa kedua, pasukannya bertahan dengan baik untuk menyekat serangan City.



“Bagi saya, saya fikir terutama di City, ia adalah karektor, personaliti dan perjuangan (yang menjadi elemen penting dalam permainan) kerana ia adalah 11 lawan 11 dan kami tahu betapa bagusnya 11 pemain mereka,” katanya.

“Ia bukan satu perancangan permainan yang rumit di bahagian pertahanan, banyak perkara sedang dilalui dan mereka melakukan tugas dengan baik.

“Teruskan tidak kira apapun. Itu mesti menjadi pelan tindakan di masa hadapan.

“Saya tidak mahu melihat persembahan di mana kami dibolosi atau sesuatu berlaku dan kepala kami tunduk ke bawah kerana saya tidak suka melihatnya.



Selepas dikecewakan di laman sendiri oleh Wolves pada perlawanan sebelum ini, di mana mereka tewas 2-1, Lampard gembira melihat anak buahnya bangkit mencabar juara bertahan itu.

“Kami berhak mendapat satu mata dan ia cukup penting buat kami selepas kekecewaan tewas kepada Wolves di mana kami sepatutnya menang.

“Berdepan juara dan kemudian mendapatkan mata dalam perlawanan yang sukar adalah sesuatu yang cukup besar buat kami, sesuatu yang penting di bilik persalinan,” katanya

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button