Anwar dijemput hadiri PAU selepas 25 tahun?
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Mungkinkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dijemput menghadiri PAU (Persidangan Agung Umno) selepas 25 tahun?
Tidak mustahil sekiranya Umno menjemput Anwar memandangkan kerjasama antara BN/Umno dan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Perpaduan.
Sementelah lagi Anwar juga pernah menjadi Timbalan Presiden Umno sebelum dipecat Tun Mahathir atas kesalahan salah laku seks.
Bagi Anwar pula, adalah penting untuknya mengekalkan sokongan dari Umno/BN agar tidak mudah digugat mana-mana pihak dalam tempoh sepenggal.
Perlu diingat, sewaktu Pakatan Harapan memerintah pada 2018, konflik dalaman merupakan antara faktor kejatuhan akibat perebutan kuasa oleh parti tertentu yang menghalang peralihan kuasa sepertimana dijanjikan sebelum itu.
Untuk mengimbangi kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, Anwar perlu memastikan keharmonian serta pembahagian kuasa antara BN/Umno dan Pakatan Harapan serta parti-parti lain.
Menghadiri jemputan (jika dijemput) ke PAU adalah peluang untuk Anwar menjalinkan satu persefahaman yang akan mengekalkan beliau sebagai PM dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Hadir sebagai Perdana Menteri tidak perlu disamakan dengan kedudukan Anwar sebagai Presiden parti politik. Ini amat penting untuk dijelaskan Umno sekiranya mahu Anwar hadir PAU akan datang.
Ini akan menyakinkan rakyat, Kerajaan Perpaduan tidak sekadar retorik politik.
Sebaliknya Kerajaan Perpaduan benar-benar menghayati Titah Seri Paduka Yang DiPertuan Agong agar kerajaan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik.