Damok idam gelaran ‘Rookie Terbaik’

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Syarifuddin Azman mempunyai sasaran tersendiri dalam musim penuh pertamanya tahun ini apabila cuba untuk menjadi muka baru terbaik kejohanan (Rookie of the Year).

Menurut pelumba berusia 21 tahun yang beraksi dalam kelas Moto3 itu, dalam mencapai sasaran berkenaan dia harus memberi sepenuh tumpuan untuk mengumpul sebanyak mana mata sebaik saja pusingan pertama 2023 bermula di Grand Prix (GP) Portugal, Mac ini.

“Tempoh rehat yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan lagi persiapan fizikal dan mental di Malaysia sebelum mengharungi beberapa sesi ujian bermula Februari ini,” kata pelumba yang terkenal dengan panggilan ‘Damok’ itu.

Ujarnya, dia mahu mendapatkan gelaran ‘Rookie of the Year’ dan cuba dapatkan mata sebanyak mungkin selepas menyertai saingan Moto3 menerusi tiket wildcard sebanyak empat kali di GP Portugal, Sepanyol, Catalunya dan Malaysia tahun lalu.



Daripada empat perlumbaan itu, pencapaian terbaiknya adalah meraih penamat ke-16 di GP Malaysia pada Oktober lalu selain pernah berada di tempat ke-13 di GP Aragon pada 2021.

“Buat masa sekarang ini, saya mempersiapkan diri di Malaysia dan mungkin akan menyertai ujian (bersama pasukan) pada Februari ini di Sepanyol. Sebelum ini, saya sudah menjalani ujian bersama pasukan.

“Semuanya OK dan saya sendiri perlu pantas menyesuaikan diri dengan jentera baharu nanti,” kata Syarifuddin yang menyertai musim 2023 bersama pasukan dari Sepanyol, MTHelmets-MSI.

Kelas Moto3 dijadual menjalani ujian rasmi di Litar Algarve, Portugal dari 17 hingga 20 Mac ini – empat hari sebelum saingan pertama musim 2023 membuka tirainya di litar yang sama.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker