SNBJ sudah ada kanvas sendiri

Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berkemungkinan tidak akan berdepan masalah padang becak selepas ini apabila Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah membeli kanvas baharu bagi menutup permukaan padang ketika cuaca hujan.

Perkembangan itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi hantaran di laman Twitternya sambil berkongsikan gambar kanvas berwarna merah putih yang menutup permukaan padang SNBJ sebelum perlawanan akhir kumpulan B Piala AFF antara pasukan Malaysia menentang Singapura, semalam.

Dalam hantaran itu, Hannah turut menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang pernah meminjamkan kanvas miliknya sebelum ini.



“@StadiumMalaysiatelah membeli kanvas baru bagi menutup permukaan padang SNBJ semasa hujan dan @KBSMalaysia komited membawa penambahbaikan fasiliti.

“Menjunjung kasih kepada @HRHJohorII yang meminjamkan kanvas padang sebelum ini. Terima kasih sukarelawan Satria @JBS_Negara,” tulisnya.

Ciapan yang dibuat Hannah itu turut mendapat perhatian Tunku Ismail yang yakin dengan komitmen dilakukan Ahli Parlimen Segambut akan ada masa depan yang cerah buat industri sukan negara.

“Seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat kita baru-baru ini, saya yakin dengan dedikasi dan komitmen anda, akan ada masa depan yang lebih baik untuk sukan, acara sukan dan fasiliti sukan.



“Lebih banyak berita baik untuk peminat sukan pada masa akan datang,” tulisnya.

Sebelum ini Tunku Ismail berbesar hati meminjamkan kanvas bagi menutup permukaan padang ketika perlawanan Piala AFF 2022 membabitkan Harimau Malaya berdepan Laos pada bulan lalu.

Malah beliau yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga pernah mengambil langkah proaktif apabila meminjamkan kanvas untuk menutup padang stadium ini sebelum final Piala FA 2022, September lalu.

Untuk rekod padang SNBJ rosak teruk pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 sekaligus menyebabkan tindakan drastik dilakukan pihak PSM untuk memperbaikinya.



Situasi terbabit turut mengundang pelbagai kecaman pelbagai pihak kerana stadium berharga ratusan juta ringgit itu tidak perlu berhadapan masalah terbabit hingga terpaksa menggunakan penyodok untuk membuang air bertakung.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button