Spurs selesa atasi Palace

LONDON: Harry Kane membuang rasa suram di Tottenham awal pagi tadi apabila meledak dua gol ketika menang selesa 4-0 mengatasi Crystal Palace manakala Nottingham Forest membawa pasukan keluar dari zon penyingkiran.

Forest menewaskan pasukan terbawah, Southampton 1-0 manakala Wolves seri 1-1 di Aston Villa sementara pasukan bergelut, West Ham berkongsi mata selepas seri 2-2 berdepan Leeds.

Skuad Tottenham bimbingan Antonio Conte tidak konsisten, berkedudukan keempat musim lalu dan hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan ketika Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung selepas Piala Dunia.

Pengendali dari Itali itu yang sudah mengecapi kejayaan di Inter Milan, Chelsea dan Juventus, memberi amaran minggu ini bahawa dia hanya akan kekal jika 100 peratus yakin dengan projek mahu dilakukan kelab itu.

Conte mahu membalas selepas kekalahan 2-0 Sabtu lalu di laman sendiri berdepan Aston Villa dan dia akhirnya mendapatkannya selepas persembahan kurang baik babak pertama pasukannya.

“Perwatakan pasukan ini sentiasa ditunjukkan,” katanya kepada Sky Sports. “Mungkin pada perlawanan terakhir menentang Aston Villa reaksi kami tidak kuat. Selain itu dalam setiap perlawanan kami menunjukkan reaksi yang bagus.

“Ia amat penting. Kami mendapat tiga mata. Kami terus kekal sangat rapat dengan posisi yang baik. Selepas anda tidak menang dan keyakinan jatuh, adalah penting untuk menang.”

Spurs kurang menyerlah pada babak pertama di Selhurst Park apabila barisan serangan tumpul dan perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Hugo Lloris kerana berjaya mengekalkan kedudukan 0-0 tetapi cerita berbeza dipamerkan selepas rehat.

Kapten England, Kane meledak dua kali dalam lima minit pada penampilan ke-300 EPL dan hanya dua gol di belakang rekod Jimmy Greaves, 266 gol buat Spurs.

Matt Doherty menjadikan 3-0 pada pertengahan babak kedua dan Son Heung-min melengkapkan kemenangan empat minit kemudian seterusnya memberikan Spurs 33 mata – hanya dua mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester United.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker