MAIS tak iktiraf perkahwinan luar negara jika tak daftar di JAIS
Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak akan mengiktiraf pernikahan individu di luar negara sekiranya tidak didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam, pengiktirafan tidak diberikan kepada pasangan yang gagal mendaftar dan mereka perlu membayar denda.
“Kita tidak menghalang individu hendak bernikah di luar negara (kerana) negara berkenaan pun tiada halangan, mereka ada jurunikah dan imammya… tetapi kita, secara undang-undang dan peraturan sedia ada kita tidak iktiraf (pernikahan itu).
“Apabila mereka akad nikah di negara luar… mereka akan kena denda di sini, terpaksa pergi ke mahkamah untuk mendaftarkan dan mengesahkan mereka (pasangan itu) sudah berkahwin.
“Walaupun sah berkahwin, cukup syarat.. sekiranya mereka berkahwin di luar negara tidak didaftarkan di JAIS, kita tidak boleh mengiktiraf perkahwinan mereka,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan Program Sumbangan Pasca Banjir MAIS & Anak Syarikat ke Terengganu dan Kelantan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pakej pernikahan di luar negara.
Mengulas lanjut katanya, pasangan yang gagal mendaftarkan pernikahan mereka dengan JAIS juga akan menyukarkan banyak perkara untuk jangka masa panjang.
“Urusan anak hendak berkahwin juga susah jika perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan dan diiktiraf di Selangor… begitu juga berkaitan pembahagian harta pusaka,” katanya.
Mengenai pakej pernikahan di luar negara katanya, setakat ini tiada sebarang jalinan kerjasama dilakukan dengan pihak yang menawarkan pakej pernikahan yang dimaksudkan itu.
Malah katanya, pihak JAIS mempunyai pendaftar dan jurunikah mencukupi di setiap daerah negeri ini bagi memudahkan proses akad nikah dilaksanakan dengan sebaiknya.
Media sebelum ini melaporkan mengenai pakej pernikahan di Thailand bermula serendah RM2,000 termasuk bayaran kepada majlis agama, pengangkutan dan makan tengah hari bagi setiap pasangan.
Pakej itu meliputi pengurusan selama sehari ke negara jiran berkenaan termasuk nikah di Narathiwat dan terus ke Songkhla bagi surat sokongan konsul.
Isu itu hangat di media sosial berikutan pergolakan rumahtangga selebriti terkenal, Syamsul Yusof yang mengaku bernikah buat kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand, kelmarin.
METRO