Didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana

Kuala Lumpur: Empat individu didakwa tiga Mahkamah Sesyen, hari ini, atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Semua individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat kontraktor telekomunikasi dan pengarah syarikat percetakan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif NVDS Technology Sdn Bhd, Md Zaidi Muhammad, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan manakala bekas pengarah syarikat Lan Trading & Construction Con dan Percetakan Haz Sdn Bhd, Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan.



Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Md Zaidi didakwa sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat melalui seorang wanita memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Incentive Program) bertarikh 22 April 2021 kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM343,660.

Dia didakwa dengan niat memperdayakan Perkeso yang mana dokumen itu mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baru sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.

Mohamed Hazzri yang berdepan dua pertuduhan, didakwa sebagai pengarah syarikat Lan Trading & Construction Co, melalui seorang lelaki memberikan borang berkenaan bertarikh 3 Jun dan 29 Jun 2021 kepada dua pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM40,900, dengan niat sama.



Sementara itu di kamar berasingan, Mohamed Hazzri dan pemilik syarikat Ilham Diya Enterprise, Nor Rizan Zakaria, 59, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan iaitu melalui seorang lelaki telah memberikan borang bertarikh 6 Mac 2021 dan 29 Mei 2021 kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM110,800, dengan niat serupa.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, pengurus syarikat Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan iaitu melalui seorang lelaki telah memberikan borang bertarikh 31 Julai 2021 kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM9,100 dengan niat serupa.

Md Zaidi dan Muhammad Asyraf didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya manakala Mohamed Hazzri dan Nor Rizan melakukannya di Pejabat Perkeso, Jalan Ampang di sini, antara 6 Mac 2021 hingga 13 September 2021.



Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon jaminan RM70,000 bagi Md Zaidi manakala Mohamed Hazzri RM20,000 berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya A Kalavani memohon Mohamed Haazri dan Nor Rizan diikat jamin RM30,000 dan RM20,000 berserta syarat tambahan yang sama manakala Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Alias mencadangkan Muhammad Asyraf diikat jamin RM5,000.

Rozina membenarkan Md Zaidi diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin manakala Mohamed Hazzri dibenarkan jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan notis senarai hitam ke atas tertuduh ke luar negara dikeluarkan kepada imigresen selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga pelupusan kes.



Suzana pula membenarkan Mohamed Hazzri dan Nor Rizan masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai manakala Azura membenarkan Muhammad Asyraf dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambah yang sama.

Semua mahkamah masing-masing menetapkan sebutan kes pada 7, 15 dan 22 Februari ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button