Hal cinta biarlah rahsia
MESKIPUN dari segi populariti, nama Beby Acha, 32, mungkin tidak sehebat abang, Allahyarham Achik Spin dan adiknya, Tajul, namun yang pasti bakat nyanyian menyatukan mereka.
Beby Acha yang baru beberapa tahun bergelar penyanyi, sudah menghasilkan enam single solo dan duet seperti Jaga Jaga (duet Ejai Aziz), Anje Baby, Mama Bonita, Jerung Merah, Uda Dan Dara serta Semaian Cinta (duet Azzara Band).
Namun, yang pasti lagi pemilik nama sebenar Nur Aishah Md Shari ini memilih ‘mengunci mulut’ untuk berbicara soal peribadi, terutama cinta yang menimbulkan spekulasi mengenai status dirinya masih solo atau sudah berpunya.
Ditemui ketika pelancaran single Semaian Cinta baru-baru ini, Beby Acha berkata, dia sebolehnya cukup menjaga batas pergaulan supaya tidak terkait dengan sebarang gosip atau cerita sensasi dengan mudah. Katanya, dia cuba tidak mahu membuka ruang gosip.
“Saya tahu pada usia yang sudah mencecah 30-an sekarang, pasti ada segelintir peminat atau netizen yang ingin mengetahui status sebenar saya atau kisah percintaan. Namun, untuk saya ia agak peribadi dan biar fokus pada karier saja.
“Sampai masanya saya akan berkongsi juga. Cuma sekarang saya tidak mahu terlalu bercerita mengenai peribadi seperti kisah cinta kerana biar jadi rahsia. Bagi saya, ada perkara boleh dikongsi dan ada juga yang patut disimpan saja,” katanya.
Beby Acha berkata, dia tidak gemar mencanang sesuatu perkara yang tidak pasti. Jelasnya, tunggu saja dan suatu ketika nanti masa itu akan datang juga. Menurutnya, selain maruah diri, sudah tentu nama baik keluarga perlu dijaga.
Berbicara lanjut, Beby Acha menjelaskan pembabitannya dalam karier seni pun bermula agak lambat. Katanya, ini kerana dia mengambil masa lama membuang perasaan malu dan kurang keyakinan diri.
“Allahyarham abang Achik tahu saya ada bakat dalam nyanyian dan dia mahu kami adik-beradik ada legasi serta aktif bersama. Cuma ketika dia masih ada dulu, saya pemalu sangat dan tak berani.
“Tapi, Alhamdulillah sekarang saya dah bersedia bergelar penyanyi. Saya teruja hendak ketengahkan bakat seni dengan cara sendiri. Apa yang pasti, saya tidak mahu ‘menjual’ kisah peribadi lebih daripada karier.
“Saya yakin pada rezeki dan tidak mengejar populariti pun. Biar nama dan karier nyanyian saya bergerak perlahan-lahan untuk dikenali ramai, namun mampu bertahan dan tidak dibayangi pelbagai gosip atau cerita sensasi,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama dengan Ejai Aziz dan Azzara Band, wanita ramah ini berkata, dia tidak tahu kenapa rasa amat selesa dan urusan juga berjalan lancar apabila mereka berkolaborasi bersama.
“Saya tidak bersikap terlalu memilih rakan duet pun, tapi tak sangka memang mudah sangat bekerjasama dengan Ejai dan Azzara Band. Kami senang berbincang dan okey saja untuk membuat keputusan.
“Malah, saya pun tak kisah kalau selepas ini masih ada lagu duet bersama mereka. Saya juga berterima kasih kepada pendengar yang memberi sokongan dan menerima baik kehadiran single Semaian Cinta. Terima kasih tak terhingga diucapkan,” katanya.
Ditanya juga sejauh mana Beby Acha mahu dikenali sebagai penyanyi dangdut, katanya, dia sebenarnya boleh menyanyikan pelbagai genre lagu dan tidak terikat dengan satu rentak saja.
Imej seksi
Apabila dikatakan penyanyi dangdut, satu lagi pandangan ‘sinis’ yang sering dikait adalah imej seksi. Justeru, Beby Acha juga tidak terlepas dengannya dan dia sama sekali tidak cepat melatah.
“Seksi bagi saya adalah subjektif. Ia tidak hanya pada penampilan, tetapi merangkumi banyak sudut padang. Senang cakap, kalau dalam otak orang itu mengatakan seksi, maka sebegitu sudut pandangnya.
“Jangan kata pakaian saja, tapi kalau saya berdiri, duduk atau berjalan pun tetap dipandang dan dikatakan seksi. Ia pandangan individu dan tak boleh juga nak pukul rata semua. Apa pun, penampilan saya tetap berpada-pada,” katanya.
Ditanya juga keinginan menyanyi semula lagu arwah Achik serta berduet dengan Tajul, Beby Acha berkata, impian itu ada, namun perlaksanaannya tidak mudah. Katanya, ini kerana dia dan Tajul berlainan syarikat rakaman dan pengurusan. Begitu juga dengan lagu arwah Achik yang kebanyakannya diterbitkan oleh FMC Music.
METRO