RM132.7 juta barang rampasan, 306 tangkapan Op Kontraban 2022

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan termasuk barang seludup bernilai RM132.7 juta serta menahan 306 individu menerusi Op Kontraban sepanjang tahun lalu.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata operasi itu dijalankan secara bersepadu oleh Wildlife Crime Bureau (WCB) PDRM, pasukan Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) JKDNKA serta Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.

Ia turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).



Katanya, Op Kontraban dikoordinasi Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM bagi mengawal kegiatan penyeludupan di sempadan negara, turut memfokus untuk membendung ketirisan barangan kawalan bersubsidi

“Sepanjang 2022, WCB dan PSK merekodkan tangkapan seramai 306 orang dengan nilai rampasan berjumlah RM132,707,431.

“Kejayaan itu terdiri daripada tindakan mengikut Akta Kastam 1967 dengan rampasan bernilai RM68 juta, Akta SPRM 1967 (RM25,000), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar menerusi Op Bersepadu Khazanah (RM2.8 juta) serta Akta Bahan Letupan dengan rampasan bernilai RM7.5 juta.

“Selain itu, Akta Kawalan Bekalan membabitkan rampasan RM40.3 juta, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (RM1.5 juta) dan Seksyen 379 / 427 Kanun Keseksaan membabitkan mata wang kripto Bitcoin bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini



Menerusi Op Kontraban tahun lalu juga, PDRM berjaya melakukan pelbagai rampasan berjumlah RM12,000 untuk kes yang disiasat mengikut Akta Senjata 1960.

Turut dirampas, pelbagai ubatan COVID-19 serta peralatan dan cecair vape dianggarkan bernilai RM3.4 juta dan tindakan dibuat mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Bahan Kosmetik 1984 (ubat COVID-19) dan Akta Racun 1952 (vape).

Menurut Noorsiah, untuk tempoh dari 1 hingga 6 Januari tahun ini sahaja, WCB dan PSK sudah melancarkan sembilan serbuan dan operasi membabitkan jumlah rampasan bernilai RM27.4 juta.

“Pelbagai barangan seludup bernilai RM24.2 juta dirampas mengikut Akta Kastam 1967, selain itu pelbagai barangan kawalan bernilai RM971,149.50 dirampas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.



“Pasukan itu turut berjaya merampas pelbagai barangan bernilai RM2.2 juta yang didapati melanggar Akta Racun 1952,” katanya.

Pada operasi itu juga, katanya PDRM berjaya menahan 23 individu terdiri daripada 17 warga tempatan dan enam warga asing untuk membantu siasatan.

“Bagi tahun 2023, PDRM akan terus komited memacu langkah untuk melaksanakan operasi bersepadu melalui elemen barisan hadapan WCB, PSK, PGA, KPDN, KKM dan LHDN.

“Usaha bersepadu dengan pihak KPDN, LHDN dan KKM khususnya sebagai langkah proaktif PDRM menyumbang secara lebih efektif dalam membendung penyelewengan minyak diesel bersubsidi, rokok serta minuman keras,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button