HATI-HATI UMAT ISLAM -ANIMASI IMAGINASI PESONG AQIDAH

Kuala Lumpur: Terdapat lebih 10 saluran YouTube berkonsepkan animasi memaparkan kisah nabi yang menzahirkan rupa fizikal menerusi watak animasi, sekali gus menimbulkan kekeliruan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Semua saluran video itu menggunakan bahasa Melayu dan boleh difahami oleh semua peringkat kanak-kanak dan tindakan itu dibimbangi mengundang salah faham.

Video animasi berdurasi sekitar 10 hingga 30 minit itu menampilkan pelbagai siri dan antaranya penzahiran wajah Nabi Sulaiman AS, rupa fizikal Nabi Musa AS dan penggunaan cahaya untuk menggambarkan watak animasi Nabi Muhammad SAW bersama sahabat baginda.



Beberapa klip video berkenaan mendapat jumlah tontonan lebih satu juta dan diterbitkan tahun lalu menerusi nama saluran YouTube yang berbeza.

Klip video itu dibimbangi akan menyemai salah faham berkaitan penzahiran fizikal nabi yang jelas dilarang oleh Islam kerana dibimbangi perkara itu akan merendahkan kemuliaan mereka.

Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Dr Mohd Khafidz Soroni berkata, penzahiran watak nabi yang memperincikan rupa fizikal, bentuk tubuh, wajah sehingga boleh melihat dalam keadaan sempurna adalah ditegah di dalam Islam.

Menurutnya, ini antara lain bagi mengelakkan pihak tertentu mereka atau mencipta satu watak berdasarkan imaginasi mereka sedangkan hakikat sebenar wajah nabi tidak seperti yang digambarkan.



“Ia juga dibimbangi boleh merendahkan taraf nabi-nabi yang mulia di sisi Allah SWT. Walaupun tiada hukum khusus berkaitan watak animasi, menerusi satu hadis nabi, kita boleh membuat kias berkaitan hukum penzahiran watak nabi ini.

DR MOHD KHAFIDZ SORONI

DR MOHD KHAFIDZ SORONI

“Hadis daripada Nabi Muhammad SAW bermaksud: ‘Barangsiapa yang berdusta di atas namaku (Nabi Muhammad SAW), maka siaplah tempatnya di dalam neraka.’

“Ini adalah hadis sahih daripada Riwayat al-Bukhari dan berdasarkan dalil ini, dapat kita simpulkan bahawa penzahiran watak nabi adalah berdasarkan kepada imaginasi pembuat animasi itu, besar kemungkinan apa yang mereka fikirkan tidak sama dengan hakikat sebenar,” katanya kepada Metro Ahad.



Dr Mohd Khafidz berkata, fatwa berdasarkan permasalahan ini juga agak ketat.

Ia bagi menjaga kemuliaan nabi dan tidak sewenang-wenangnya direka atau dizahirkan menerusi imaginasi.

“Larangan penzahiran watak ini juga terpakai dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW memandangkan mereka semua mempunyai darjat yang mulia di sisi Allah SWT dan tujuan larangan ini untuk menjaga kemuliaan mereka.

“Jika kita mahu menzahirkan, kaedah terbaik yang boleh dilakukan adalah tidak menampakkan tubuh fizikal keseluruhannya.



“Contoh, kaedah yang boleh digunakan adalah sudut kamera atau animasi yang menampakkan hanya tongkat serta bayangan tangan. Jika menzahirkan dalam bentuk cahaya pun, akan mengundang salah faham dalam kalangan kanak-kanak dan mereka mungkin akan bertanya adakah nabi itu daripada cahaya,” katanya.

Beliau berharap pencipta kandungan lebih prihatin dalam isu ini dan tidak sewenang-wenangnya menzahirkan idea kreatif mereka sedangkan perkara berkenaan bertentangan dengan syarak.

Menurutnya, selain itu juga, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau setiap aktiviti anak terutama dalam saluran YouTube kerana besar kemungkinan mereka melihat sesuatu yang tidak bertepatan dengan akidah umat Islam.

Hmetro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button