Moksu kekal sihat di usia 107 tahun (Video)

Kuala Terengganu: Pengambilan makanan berkhasiat dan amalan gaya hidup sihat rahsia wanita dikenali Zaharah masih bertenaga walaupun usianya sudah mencecah 107 tahun.

Zaharah atau mesra disapa Bonda Moksu menarik perhatian selepas anak angkat dikenali Fara Aina memuat naik video di TikTok menunjukkan wanita itu mempamerkan gaya tari silat seni kebudayaan rohani dan jasmani.

Perkongsian video itu mendapat perhatian netizen dengan rata-rata netizen kagum melihat aksi Zaharah selain mendoakannya terus diberi kesihatan dan umur yang panjang.

Bercerita lanjut, Fara Aina, 30, berkata, ibu angkatnya itu adalah guru silat dan mempunyai ramai anak didik di seluruh negara.

Selain itu, Zaharah pakar dalam perubatan kampung dan kini tinggal bersama cucu perempuan di Pulau Gajah, Pantai Sabak dekat Kota Bharu, Kelantan.

“Alhamdulillah, Bonda Moksu masih sihat secara fizikal cuma sudah tak larat buat kerja berat macam dulu tetapi masih mampu kemas rumah dan berjalan.

“Kebanyakan masanya di rumah dan ramai datang bertemunya untuk berubat kerana Bonda Moksu juga pakar dalam perubatan kampung.

“Ketika masih kuat beberapa tahun lalu, Bonda Moksu kerap masuk hutan dan panjat gunung untuk cari akar kayu bagi dijadikan ubat tradisional contohnya ubat resdung dan sakit urat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Fara Aina berkata, ibu angkatnya itu juga gemar berbasikal cuma kini sudah tidak larat.

“Bonda Moksu dulu suka berbasikal sampai ke mana-mana pergi pun dia akan naik basikal kerana suka mengayuh.

“Pernah juga dia kongsi rahsianya kekal sihat dan katanya kerana pemakanan dan gaya hidup sihat selain faktor keturunan.

 

 

@nikfarahaina Bonda Moksu… umur dah 107 tahun masih sihat lagi… kita msuk umur 30 pn dah nyanyuk hahaha #gurusilat #bondamoksu #kelantan #matkilau #tokjanggut #tokkenali #sabakkelantan #fypシ #fypシ゚viral ♬ Mentera Semerah Padi – M. Nasir

 

“Ia kerana ibunya juga hidup sehingga 100 tahun sebelum meninggal dunia,” katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Fara Aina berkata, video dimuat naik itu dirakam secara spontan dan tak sangka jadi tular di laman sosial.

“Kebetulan, Bonda Moksu datang beraya dan bermalam beberapa hari di rumah saya di sini.

“Ketika di rumah, dia sempat menunjukkan tari dan bunga silat kepada anak muridnya yang berpeluang berjumpa dengannya di sini.

“Selepas video itu tular di Tiktok, Bonda Moksu agak terkejut kerana tidak pernah mengalami situasi sedemikian.

“Bagaimanapun, dia okay selepas saya dan anak didik terangkan kepadanya.

“Bonda Moksu bukan orang senang namun anak didiknya selalu hulurkan bantuan dan sebagai anak angkat, saya sentiasa doakan semoga dia terus sihat serta dipermudahkan urusan di dunia juga akhirat,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker