Kredit Komuniti mirip along peras peminjam

KUALA LUMPUR: Ditekan dengan kadar faedah melampau sehingga lima peratus sebulan, tidak diberikan salinan perjanjian pinjaman, diminta menandatangani perjanjian kosong, selain kad mesin pengeluaran automatik (ATM) peminjam dipegang wakil syarikat.

Itu antara modus operandi dikesan digunakan sesetengah syarikat Kredit Komuniti berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), beroperasi tidak ubah seperti pemberi pinjaman wang haram atau along.

Lebih parah, terdapat juga syarikat mengancam peminjam dengan ugutan untuk memalukan mereka seperti menyebar gambar, selain menghantar ejen atau kakitangan ke rumah jika peminjam culas membuat bayaran balik.



Kredit Komuniti dijenamakan semula daripada syarikat pemberi pinjaman wang (PPW) berlesen oleh KPKT pada April 2019 bagi mengelakkan orang ramai, khususnya peniaga kecil meminjam daripada ceti haram.

Mengikut syarat ditetapkan, syarikat yang tertakluk di bawah Akta dan Peraturan Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) itu dibenar menawarkan pinjaman peribadi dan korporat tanpa had bersama kadar faedah 12 peratus setahun dengan cagaran dan 18 peratus tanpa cagaran.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun ia dijenamakan, sesetengah syarikat didakwa menyeleweng dan menekan peminjam dengan faedah tinggi melampau berbanding had dibenarkan, selain mengugut dan mengancam peminjam.



Salinan perjanjian pinjaman tak diberi kepada peminjam

Wartawan BH bersama wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkunjung ke syarikat Kredit Komuniti di ibu negara baru-baru ini, di bahagian luar premis dipasang papan tanda nama syarikat bersama nombor lesen pendaftaran serta nombor telefon.

Hasil temu bual, kakitangan syarikat mengaku pihaknya memang tidak pernah memberikan salinan perjanjian kepada peminjam kecuali penerangan berkaitan seperti jumlah pinjaman dan bayaran balik bersama tempohnya, manakala dokumen perjanjian disimpan syarikat.

Dia kemudian dilihat teragak-agak menjawab ketika ditanya mengenai kadar faedah tinggi yang dikenakan, sekadar mendakwa ia lebih rendah berbanding along, malah kelihatan bimbang apabila diberitahu syarikatnya akan diadukan kepada KPKT kerana pernah mengancam memalukan peminjam.



Wartawan menyamar mohon pinjaman

Terdahulu, wartawan BH menyamar mahu memohon pinjaman RM30,000 daripada sebuah syarikat Kredit Komuniti dan diberitahu bayaran balik RM47,000 dengan kadar faedah lima peratus sebulan.

Malah, syarikat terbabit memberi jaminan pinjaman boleh diluluskan dalam satu hingga dua jam serta tidak perlu membuat bayaran balik antara lima hingga lapan bulan.

Mengikut Akta 400, kadar faedah maksimum ditetapkan adalah 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun bagi pinjaman individu, namun ejen syarikat biasanya dikatakan pandai memujuk atau tawar-menawar jika peminjam was-was dengan kadar faedah lebih tinggi dikenakan.



Melalui promosi dilihat BH yang disebarkan melalui brosur dan di media sosial, sasaran utama peminjam adalah individu berusia 49 dan 50 tahun yang bakal layak mengeluarkan simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila genap berusia 50 tahun.

Menerusi perbualan wartawan dengan ejen syarikat terbabit, mereka turut memberi beberapa cadangan bagi membolehkan peminjam membuat pilihan untuk mengurangkan kadar faedah asalkan mengambil pinjaman dengan dakwaan kadar ditetapkan semua syarikat Kredit Komuniti adalah sama.

“Kadarnya (faedah) sama sahaja (oleh syarikat Kredit Komuniti), lebih kurang, cuma kalau ‘urgent’ nak pakai dan tak okay dengan jumlahnya, boleh minta ibu pejabat kira semula, mungkin kurang lagi. Boleh juga pinjam lebih rendah dan selepas beberapa bulan, baru buat tambahan, jadi kurang faedah bulanan,” katanya.

Ejen juga memberitahu, bagi mengurangkan keseluruhan bayaran balik pinjaman sebelum peminjam boleh mengeluarkan simpanan KWSP, mereka disaran membayar dulu ansuran bulanan minimum RM200 sebulan.



Sementara itu, ejen berasingan mewakili sebuah syarikat Kredit Komuniti lain yang dihubungi BH, menawarkan pinjaman dengan faedah lebih berpatutan iaitu pinjaman RM30,000 hanya bayaran baliknya RM44,723.

Kadar bayaran balik juga didakwa akan lebih rendah jika peminjam menyelesaikan bayaran dengan pengeluaran simpanan KWSP.

Dua tahun lalu, BH pernah melaporkan tindakan beberapa syarikat peminjam wang menyasarkan pelanggan dalam kalangan pencarum KWSP yang akan mengeluarkan caruman penuh atau dari akaun 2 dengan menawarkan pinjaman mudah lulus.

Gunakan nama KWSP untuk dorong peminjam



Menggunakan nama Skim Pinjaman KWSP ketika itu, pinjaman ditawarkan kepada pencarum pada usia 54 dan 55 tahun yang boleh mengeluarkan caruman penuh serta usia 49 dan 50 tahun yang layak mengeluarkan simpanan akaun 2, dan kini skim sama masih berleluasa.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor memberitahu BH, pihaknya yang sering menjadi perantara di antara peminjam teraniaya dengan syarikat pemberi pinjaman, menerima lebih 2,000 aduan sepanjang 2022 berhubung pinjaman daripada pihak mendakwa syarikat Kredit Komuniti.

Beliau mengakui ada taktik penipuan melalui tawaran pinjaman oleh sesetengah syarikat Kredit Komuniti, khususnya faedah melampau sehingga tiga kali ganda, selain peminjam tidak diberikan salinan perjanjian pinjaman atau dipaksa menandatangani surat perjanjian kosong.

“Ada juga syarikat menukar terma perjanjian pinjaman sesuka hati kerana peminjam tidak diberikan salinan perjanjian pinjaman. Lebih buruk, ada syarikat salah guna lesen Kredit Komuniti diberikan KPKT dengan menawarkan pinjaman yang melanggar perjanjian ditetapkan.

“Ia seperti kenakan faedah sehingga 40 peratus setahun, termasuk menipu dalam perjanjian. Ada juga secara terang-terangan memberitahu bakal peminjam jumlah faedah tinggi itu dan akan dipersetujui peminjam yang terdesak.

“Penipuan dalam kes ini ada pelbagai cara, contoh pinjam RM7,000 dan tandatangan dokumen perjanjian kosong. Syarikat kemudian tambah nilai pinjaman pokok sehingga RM16,000, tak termasuk faedah tinggi melebihi 18 peratus setahun, jauh lebih tinggi berbanding ditetapkan peraturan,” katanya.

Katanya, peminjam yang menjadi mangsa termasuk yang berjawatan tinggi seperti pengarah, peguam dan pegawai kanan awam serta swasta, menunjukkan ada syarikat Kredit Komuniti bijak memanipulasi mereka yang terdesak sehingga terjebak.

Sehubungan itu, beliau berkata, penting supaya kawal selia syarikat Kredit Komuniti diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) berbanding KPKT bagi memudahkan tindakan diambil jika berlaku salah saku atau pelanggaran peraturan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button