Lloris tamatkan karier antarabangsa
PARIS: Kapten Perancis, Hugo Lloris mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa pada usia 36 tahun, tiga minggu selepas negaranya tewas final Piala Dunia menerusi penalti di tangan Argentina di Doha.
“Saya mengambil keputusan untuk menamatkan karier antarabangsa saya, saya sudah memberikan semuanya,” kata penjaga gol Tottenham Hotspur, Lloris dalam temubual bersama akhbar sukan harian Perancis, L’Equipe semalam.
“Saya rasa adalah penting untuk mengumumkannya sekarang, dua setengah bulan sebelum bermula kelayakan Euro.”
Lloris, yang membuat penampilan sulung pada usia 21 tahun ketika perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada November 2008, bersara selepas bergelar pemain paling banyak mewakili Perancis ketika Piala Dunia.
Dia mengambil alih rekod sebelumnya milik Lilian Thuram dengan 142 penampilan apabila mencatat kaps ke-145 ketika Perancis tewas 4-2 menerusi penalti selepas seri 3-3 pada tambahan masa.
“Saya memang memikirkannya sejak penamat Piala Dunia, tapi jauh di hati saya sejak enam bulan lalu dan semakin bertambah ketika kejohanan, membuatkan saya mengambil keputusan ini,” kata Lloris.
Bekas penjaga gol Nice dan Lyon itu mengetuai Perancis menang pada Piala Dunia 2018 di Russia.
Dia bermain tujuh kejohanan utama secara keseluruhan termasuk Euro 2016 ketika Perancis tewas aksi final kepada Portugal yang juga tuan rumah.
Penjaga gol simpanan Perancis pada Piala Dunia ialah pemain veteran berusia 37 tahun dari Rennes, Steve Mandanda dan Alphonse Areola dari West Ham United.
Bagaimanapun pengganti utama Lloris dijangka menjadi milik penjaga gol berusia 27 tahun, Mike Maignan dari AC Milan, yang terlepas aksi Piala Dunia kerana kecederaan.
“Sudah tiba masanya anda perlu mengundur diri. Saya sentiasa katakan bahawa pasukan kebangsaan Perancis tidak dimiliki sesiapa,” kata Lloris.
AFP